Tawar pengalaman menarik dalam bentuk digital

0
30

KUCHING: Portal dan aplikasi pelancongan Sarawak kini berwajah baharu serta dipertingkatkan dengan lima modul yang menawarkan pengalaman digital menarik untuk pengguna.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, laman sesawang dan aplikasi Sarawak Travel yang dinaik taraf tersebut menawarkan pengalaman menyeronokkan untuk pelawat yang ingin memanfaatkan masa sepenuhnya di negeri ini.

“Modul satu hingga empat memberikan pengalaman lawatan maya ke pelbagai destinasi pelancongan dengan maklumat terperinci seperti Tapak Warisan Kuching Lama, Taman Negara serta jejak makanan.

“Ini juga termasuk model 3D produk ikonik seperti Kampung Budaya Sarawak, Taman Negara Mulu, Taman Negara Bako dan banyak lagi.

“Manakala modul lima ditambah ciri permainan geolokasi yang menyeronokkan, dengan pelawat boleh menerima cabaran untuk mengumpul lencana bagi membuka kunci kepada pelbagai pencapaian.

“Melalui teknologi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada aplikasi pula, pengguna boleh mencuba cara menyeronokkan untuk menerokai Sarawak termasuk melawat tempat tarikan pelancongan seperti Tebingan Sungai Kuching, Muzium Sejarah Cina, Galeri Brooke dan lain-lain,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian pada Majlis Memperkenalkan Portal dan Aplikasi Pelancongan Sarawak Generasi Baharu oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, kelmarin.

Menurutnya, portal dan aplikasi turut dilengkapi dengan teknologi canggih seperti komponen Realiti Maya (VR) dan Realiti Diperkukuhkan (AR) yang membolehkan pengguna merasai pengalaman pandangan 360 darjah.

“Selain itu, ciri baharu lain termasuk menyediakan keupayaan geofencing yang memaklumkan kepada pengguna mengenai tempat tarikan pelancongan yang berdekatan semasa mereka bergerak.

“Ciri ini juga akan memberikan maklumat latar belakang dan kepentingan tarikan serta produk, termasuk arahan laluan untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju seperti yang dilakukan oleh pemandu pelancong fizikal,” ujarnya.

Tambahnya, pelancaran tersebut sekali gus satu lagi peristiwa penting dalam industri pelancongan Sarawak kerana strategi pendigitalan yang mantap amat diperlukan untuk terus kekal berdaya tahan.

“Kini kita hidup dalam dunia pelancongan yang menyediakan pelawat dengan cara perjalanan berbeza berkat kemajuan digital yang tidak lagi dikekang sempadan fizikal.

“Sejak pelancaran pertama aplikasi ini pada Februari 2020, ia menerima pembangunan dan peningkatan berterusan kerana kita perlu mencipta pengalaman yang berkualiti untuk pelawat dalam mempromosikan Sarawak.

“Malah berdasarkan data terkini oleh Statista, menjelang 2024 dianggarkan terdapat 1.7 bilion peranti pengguna AR mudah alih di seluruh dunia, meningkat 1.5 bilion daripada 200 juta yang dilihat pada 2015,” katanya lagi.

Beliau menegaskan kementeriannya dan agensi berkaitan akan terus meneliti inisiatif digital untuk sektor pelancongan.

“Dalam masa sama, diharap lebih banyak inisiatif transformasi digital yang akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pelancongan dilaksanakan untuk menjadikan negeri ini tempat ekopelancongan terkemuka di rantau Asean,” tambahnya.

Portal dan aplikasi tersebut diusahakan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), STB dan Unimas.