SEB sumbang RM400,000 untuk Yayasan Jantung

0
10
SUMBANGAN… Dr Sim Kui Hian menerima sumbangan daripada Sarawak Energy yang diwakili oleh Ketua Pegawainya, Datuk Sharbini Suhaili.

KUCHING: Sarawak Energy menderma RM400,000 kepada Yayasan Jantung Sarawak untuk membeli mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) baharu di Hospital Sibu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili menyampaikan sumbangan tersebut kepada Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Timbalan Pengerusi Yayasan Jantung Sarawak.

Sharbini berkata, mesin Pengimejan Resonans Magnetik baharu (MRI) Mesin di Hospital Sibu, dianggarkan berharga RM2.6 juta.

“Mesin MRI baharu ini akan digunakan Hospital Sibu untuk menampung pesakit di seluruh wilayah tengah, termasuk dari Sarikei, Mukah dan Kapit.

“Sarawak Energy memberi sumbangan besar kepada inisiatif kesihatan.

Kami berharap sumbangan ini akan membantu Yayasan Jantung Sarawak,” katanya kelmarin.

Di samping itu, beberapa lagi sumbangan Sarawak Energy untuk meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan penjagaan kesihatan awam kepada masyarakat luar bandar, melalui Program Jangkauan Penglihatan Mata CSR Kumpulan di Baleh, Kapit, Bakun, Murum, Balingian dan Mukah.

“Program ini memberi manfaat kepada penduduk yang menghidap katarak.

Pada 2020, Sarawak Energy menyumbangkan dua buah mesin hemodialisis kepada Hospital Kapit dan Lawas, manakala pada Mac 2022, Klinik Sungai Asap di Penempatan Semula Bakun Daerah Belaga telah diberikan sebuah ambulans baharu,” katanya.

Sementara itu, Dr Sim mengucapkan terima kasih kepada Sarawak Energy atas sokongan berterusan terhadap inisiatif penjagaan kesihatan di negeri ini. “Hospital ini mengendalikan purata 150 hingga 180 kes sebulan.

“Dengan adanya mesin baharu, kita dapat meningkatkan akses perkhidmatan penjagaan kesihatan, termasuk perkhidmatan diagnostik dan rawatan, bagi masyarakat luar bandar,” ujarnya.