Regata Lingga dalam kalendar pelancongan Sarawak

0
19
DAYANG NOORAZAH menerima cenderahati daripada Datuk Amar Jaul Samion pada Majlis Penangguhan Regata Lingga 2022 di Pekan Lingga

LINGGA: Penjenamaan semula Pesta Lingga kepada Regata Lingga penting bagi memastikan ia dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.

Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor memberitahu, Pesta Lingga (kini Regata Lingga) merupakan salah satu acara tahunan bagi memperkenalkan daerah ini kepada masyarakat luar.

“Alhamdulillah tahun ini Pesta Lingga dijenamakan semula kepada Regata Lingga untuk memasukkannya dalam Kalendar Pelancongan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Regata Lingga 2022 di Pekan Lingga, Isnin.

Jelasnya, Regata Lingga tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 38 pasukan dari seluruh Sarawak.

“Bukan sahaja warga tempatan yang bertanding, tetapi pasukan dari Saratok, Sebuyau, Tambak, Pusa dan sebagainya. “Saya memuji penglibatan mereka dan Insya-Allah penganjuran akan datang sentiasa ditambah baik terutama aspek kemudahan lebih baik,” ujarnya.

Noorazah berkata, liputan lebih meluas dengan inisiatif baharu digunakan tahun ini misalnya lumba perahu disiarkan secara langsung melalui platform media sosial yang seterusnya dapat ditonton semua peminat sukan air.

Terdahulu Pemangku Pegawai Daerah Lingga Frank Lani, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Regata Lingga 2022 menyifatkan acara tersebut penting mengukuhkan perpaduan lebih-lebih lagi Lingga dinaik taraf sebagai daerah penuh.

“Matlamat kita agar semua rakyat merasai nikmat pembangunan,” jelasnya.

Pada saingan Ahad lalu, pasukan Garuda Embun Berasap dari Kampung Tambak, Pusa dinobatkan sebagai Raja Sungai Regata Lingga 2022 selepas mengungguli acara kayuhan Bidar 30.

Anak buah Rajali Sapie yang menggunakan jentera bernombor 41 membawa pulang hadiah utama RM10,000 dan piala Raja Sungai.