Potong gaji menteri lambang solidariti menteri

0
17
Datuk Ahmad Ibrahim

KUCHING: Ahli Dewan Negara Datuk Ahmad Ibrahim menyokong langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memotong 20 peratus gaji menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan sehingga keadaan ekonomi negara pulih.

Beliau berkata, langkah tersebut walaupun bersifat sementara, namun ia penting untuk memastikan ekonomi negara kembali stabil.

“Kita tidak dapat jangkakan apa yang berlaku kerana seluruh dunia bakal mengalami kelembapan ekonomi tahun depan.

“Oleh itu, saya menyokong langkah ini dan merupakan jalan terbaik buat masa sekarang,” katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mewarna dan Kempen Sifar Plastik 2022 di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Jaya kelmarin.

Menurutnya, setakat ini langkah tersebut tidak menjadi isu dalam kalangan ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ini merupakan tanda solidariti semua ahli Parlimen GPS dalam usaha memulihkan ekonomi negara,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan jemaah menteri bersetuju menerima potongan gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan atas keprihatinan kepada rakyat.