Percutian glamor dan perkhemahan

0
14

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menyasarkan lebih ramai pengusaha glamping atau istilah mudahnya gabungan percutian glamor dan perkhemahan diberikan penggredan tahun depan.

Motac dalam kenyataan menjelaskan, pelbagai aktiviti seperti promosi, turun padang dan lawatan tapak ke setiap negeri akan mula dipergiatkan bagi memberi hebahan kepada pengusaha glamping.

Menurut kenyataan itu, banyak faedah dan insentif yang akan diperoleh pengusaha sekiranya berdaftar dan diberikan penggredan termasuk pengecualian insentif cukai di bawah Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida) dan lain-lain mengikut syarat ditetapkan.

“Pelaksanaan gred ini juga akan menjadi pemangkin kepada pengusaha glamping di Malaysia untuk terus menawarkan perkhidmatan dan fasiliti terbaik kepada pengunjung dan seterusnya memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong.

“Sama ada pelancong domestik dan antarabangsa untuk memilih premis berdasarkan kepada penggredan yang diberikan ini,”jelas kenyataan tersebut.

Terdahulu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan buat pertama kalinya di Malaysia sebuah pusat glamping di Pulau Pinang iaitu Boulder Valley Glamping menerima Sijil Penggredan 3 Bintang Kategori Hotel Inovatif Resort di bawah Motac.

Motac menjelaskan, kejayaan Boulder Valley Glamping memperoleh penggredan itu menunjukkan kriteria yang diguna pakai Motac terbukti boleh dipenuhi semua premis yang berstruktur kekal dan sementara di Malaysia selaras dengan Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992.

“Pengiktirafan dan penggredan yang diperoleh ini dapat dijadikan sebagai pemangkin kepada kesedaran dan galakan semua pengusaha glamping di seluruh Malaysia untuk mendapatkan penggredan di bawah Motac.

“Melalui penggredan in, banyak manfaat dan faedah yang akan diperoleh pihak premis bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk menginap.

“Ini kerana penilaian yang dilaksanakan Motac memberi penekanan kepada aspek keselamatan, kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan kepada pelancong.

“Selain daripada aspek tambahan lain yang turut dititikberatkan yang mana secara keseluruhannya terdapat 12 kriteria dinilai tertakluk kepada lokaliti keberadaan premis penginapan pelancongan (PPP) tersebut,”jelasnya.