NGO wajar ada hala tuju di landasan tepat

0
4
BANTU... Dr Abdul Rahman bergambar bersama wakil penerima dana NGO.

KUCHING: Setiap badan bukan kerajaan (NGO) perlu memberi penekanan kepada aspek kepimpinan bagi memastikan hala tuju mereka mengikut landasan tepat dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, individu yang menerajui NGO dipilih dalam kalangan mereka yang berketerampilan dan ikhlas menjalankan tanggungjawab.

“Kita tidak mahu melihat NGO diterajui mereka yang hanya mahu jawatan. NGO turut memainkan peranan penting dalam menyumbang perkhidmatan kepada masyarakat.

“NGO turut menjadi penghubung antara kerajaan dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Dana Aktiviti NGO Dun Pantai Damai kelmarin.

Dr Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai menjelaskan, setiap NGO juga perlu merancang aktiviti atau program masyarakat untuk dilaksanakan sepanjang tahun.

“Kita perlu sentiasa bersedia dengan cadangan aktiviti atau program untuk manfaat masyarakat,” ujarnya. Beliau turut berharap NGO yang menerima sumbangan dana tersebut dapat menjalankan aktiviti dirancang dengan berkesan.

“Kita memberikan dana seperti seperti ini secara berterusan.

Ia sebagai usaha membantu mereka menjalankan aktiviti,” ujarnya.

Sebanyak 30 persatuan dan kelab dalam kawasan Dun Pantai Damai menerima dana tersebut.