Tangani kos sara hidup tinggi

0
5

KUALA LUMPUR: Keutamaan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah menangani kos sara hidup yang tinggi, ringgit yang rendah dan kebimbangan berkenaan kemelesetan global dan impak kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Pengarah Urusan Symphony Digest Sdn Bhd, Saw Ann Ping berkata strategi untuk tujuan ini termasuklah menghapuskan monopoli, mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang mendapat permintaan dunia, menutup ketirisan kewangan dan membasmi rasuah.

Beliau berkata, harga dapat dikurangkan secara automatik dengan menghapuskan monopoli dan membiarkan kuasa pasaran menentukannya.

“Tidak perlu ada jawatankuasa,” katanya kepada Bernama.

Saw, seorang jurulatih industri perkhidmatan kewangan dan bekas ahli perbankan berkata monopoli dan oligopoli menikmati keuntungan yang dilindungi, yang turut membenarkan ketidakcekapan, menyebabkan harga tinggi yang kemudiannya berpindah kepada pengguna yang tiada pilihan.

“Perkenalkan persaingan sekarang untuk menurunkan harga dan membuang elemen yang dilihat sebagai tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata syarikat multinasional (MNC) turut mengelak Malaysia berikutan negara tidak mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang dikehendaki dunia.

Saw berkata bagi mengubah trend itu, keyakinan terhadap ekonomi daripada warga asing dan rakyat Malaysia perlu dibina semula dengan ketirisan dan rasuah dihentikan.

Beliau berkata ekonomi kini ternyata memerlukan rangsangan.

Katanya mengeluarkan lebih banyak hutang akan menjejaskan penarafan kredit Malaysia dan meningkatkan kos pinjaman dan sebenarnya, membawa masalah yang lebih besar ke masa depan.

“Hampir semua hasil Malaysia dibelanjakan untuk perbelanjaan operasi yang tidak membawa banyak, jika ada, manfaat ekonomi.

“Alihkan perbelanjaan itu kepada pembangunan berikutan terdapat banyak cadangan bagaimana perbelanjaan operasi yang melambung dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan juga perlu disertai dengan tumpuan ke arah meningkatkan produktiviti, menghasilkan lebih banyak output untuk input yang sama.

Saw berkata terdapat juga langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mencapai penjimatan yang besar, iaitu melaksanakan klausa integriti yang terkandung dalam kebanyakan perjanjian konsesi untuk kontrak yang diberikan oleh kerajaan.

“Jika rasuah terbukti menjadicfaktor dalam penganugerahan tersebut, kerajaan mempunyai hak untuk menamatkan konsesi itu (dan) sekurang-kurangnya, terdapat ruang untuk merundingkan semula beberapa terma yang tidak sekata,” katanya, sambil menambah penjimatan itu perlu dilaburkan dalam pengangkutan awam dan pendidikan.

Beliau berkata terdapat pengangguran tetapi pada masa yang sama, syarikat mengurangkan waktu perniagaan atau ditutup berikutan masalah pekerja.

Saw berkata antara sebabnya ialah ketidakupayaan pekerja untuk ke tempat kerja berikutan ketiadaan atau jaringan pengangkutan awam yang lemah, justeru, masa dihabiskan dalam trafik yang mengurangkan produktiviti dan mewujudkan rasa tidak gembira dalam kalangan pekerja.

Beliau berkata sistem pendidikan juga perlu kurang dipolitikkan untuk mengelak pengangguran dan guna tenaga tidak penuh bagi golongan muda serta amalan melihat pendidikan tinggi sebagai perniagaan perlu dihentikan.

Saw berkata golongan muda Malaysia menamatkan pengajian dengan pinjaman pelajaran yang tinggi tetapi memegang ijazah yang tidak diingini oleh industri, semuanya untuk meningkatkan kemasukan pelajar.