Syor bantuan subsidi untuk jemaah umrah

0
7

KUCHING: Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (Suha) akan mengusulkan cadangan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk mendapatkan bantuan serta subsidi kepada jemaah yang bakal mengerjakan umrah.

Pengerusi SUHA Ruzaiman Ghazalee berkata, hal ini kerana bermula musim ini (1444 Hijrah) dan seterusnya, Malaysia akan menghadapi peningkatan harga kos yang mendadak bagi individu yang mengerjakan umrah.

Katanya, peningkatan harga kos ini adalah melibatkan harga kos tiket penerbangan serta harga penginapan yang semakin meningkat disebabkan bilangan jemaah yang menunaikan umrah tertangguh bermula pada 2020, 2021 dan 2022.

“Permintaan pusat penginapan di Mekah dan Madinah yang terlalu tinggi ini menyebabkan harga ini meningkat dan kami menjangka kos umrah juga meningkat bermula tahun hadapan.

“Justeru, saya akan mengusulkan cadangan kepada MOTAC bagi mendapatkan bantuan serta subsidi untuk jemaah di Sarawak yang bakal mengerjakan umrah kerana ketika ini hanya jemaah yang menunaikan haji sahaja yang mendapat subsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semalam, berkenaan dengan penyusunan semula jadual penerbangan Jemaah Umrah di Sarawak.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa pihak Suha juga kini dalam proses untuk meneliti kenaikan harga bagi para jemaah yang menunaikan umrah.

Ketika ini katanya, penetapan harga siling ini telah pun ditetapkan oleh Motac.

“Insya-Allah, demi kebaikan semua jemaah umrah di Sarawak, kita akan duduk semeja berbincang dengan Motac mengenai perkara ini,” ujarnya.

Harga siling bagi mengerjakan ibadah umrah untuk 12 hari 10 malam kini ditetapkan sebanyak RM6,900.

Kenaikan itu memandangkan terdapat peningkatan kos susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), sama ada di pihak Arab Saudi atau Kerajaan Malaysia.