Pamer Malaysia sebagai hab makanan

0
5
Remee Yaakub

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) meneruskan usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi sumber ramuan makanan ideal di Asia Tenggara untuk Eropah, termasuk menjadikan halal sebagai cadangan nilai yang unik.

Malah, sejajar usaha bagi meningkatkan lagi eksport Malaysia ke pasaran Eropah, Matrade mengetuai pembabitan syarikat-syarikat Malaysia pada acara FoodIngredients Europe 2022 (FI Europe) di pusat pameran dan persidangan Paris Expo Porte de Versailles pada 6 hingga 8 Disember, 2022.

Acara pameran bahan dan ramuan makanan terkemuka di Eropah serta kedua terbesar di peringkat global itu akan menampilkan 1,000 pempamer mewakili lebih 64 negara.

Pengarah Pengarah Seksyen Halal, Makanan dan Minuman (F&B) dan Agro Matrade, Remee Yaakub berkata selain aspek kualiti tinggi dan kebolehpercayaan, penampilan atau naratif Malaysia di Pavilion Malaysia acara itu akan tertumpu kepada kesediaan syarikat tempatan dalam sektor halal.

“Halal dilihat sebagai cadangan nilai unik bagi memaparkan tadbir urus baik dalam pengurusan rantaian bekalan.

Pelan Induk Industri Halal Malaysia (HIMP) 2030 turut menetapkan bahawa produk bahan makanan adalah subsegmen bagi memacu agenda halal.

“Kita percaya bahawa nilai halal itu akan diterima dengan baik oleh kalangan pengimport dari pasaran Kesatuan Eropah (EU) serta kawasan lain,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Remee berkata permintaan terhadap F&B halal meningkat susulan peningkatan ketara pelancongan Muslim di Eropah.

Berikutan itu, katanya, pengeluar dan peruncit memilih untuk mendapatkan barangan halal dalam negara atau mengimportnya dari negara seperti Malaysia.

Menurut Matrade, sebanyak 12 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam sektor ramuan makanan akan mengetengahkan kekuatan negara ini dalam segmen tersebut di Fi Europe, termasuk produk keluaran PKS tempatan seperti perasa, pewarna makanan, pewangi makanan, produk berasaskan koko, kelapa dan oleo kimia selain sos serta pes. – Bernama