Kesepakatan, kerjasama pengukur kabinet perpaduan

0
2
Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi

KUALA LUMPUR: Pengukur kepada kabinet Kerajaan Perpaduan ialah aspek kesepakatan dan kerjasama sebagai satu kumpulan meskipun jemaah menteri datang daripada parti politik yang berbeza.

Penganalisis Sosiobudaya Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata naratif bahawa kerjasama sukar dibentuk antara PH dengan BN adalah tidak tepat berikutan kedua-dua parti itu berkongsi asas ‘kepelbagaian budaya’ yang sama.

“BN dari awal merupakan parti berbilang kaum, PH juga mempunyai persamaan dengan adanya DAP. Sama juga bagi parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Situasi ini pula berbeza bagi Bersatu dan PAS yang lebih kepada satu kaum atau agama.

Maka, mustahil jika ketiga-tiga (BN, PH dan GPS) parti yang ‘bergaduh’ sebelum ini tidak boleh bekerjasama,” katanya seperti dipetik Bernama.

Dia berkata demikian semasa membincangkan mengenai topik Kabinet Perpaduan: Kekuatan 28 Portfolio pada program Ruang Bicara terbitan BernamaTV malam tadi.

Sementara itu mengulas pembentangan usul undi percaya pada persidangan Dewan Rakyat 19 Dis ini, Mohd Tajuddin berkata semua ahli parlimen perlu bersatu dan bekerjasama bagi menghadapi ‘ujian’ pada hari tersebut untuk menyelamatkan serta memajukan negara meskipun berbeza ideologi dan parti.

“Keabsahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dikatakan pada 19 Dis ini saya tidak lihat ia keabsahan beliau tetapi itu adalah ujian ahli-ahli parlimen, adakah mereka bersatu dan bersedia untuk mempertahankan negara?

“Maka itu ialah ujian kepada mereka dan bukannya perdana menteri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Peace Malaysia Dr Zokhri Idris pula berkata pelantikan jemaah menteri dilihat tepat berdasarkan latar belakang kepakaran masing-masing.

“Benar terdapat dua kedudukan yang dipertikaikan namun itu tidak boleh menjadi punca untuk menyoal kesesuaian pelantikan jemaah menteri.

“Saya lihat kadar kesesuaian itu tinggi dan (jemaah menteri) diletakkan pada kedudukan kementerian yang betul.

“Saya rasakan masih terlalu awal untuk kita menilai kelompongan yang ada pada kementerian itu kerana posisi pelantikan bagi timbalan menteri itu masih belum lengkap. Beri peluang kepada Kerajaan Perpaduan ini menerajui negara,” katanya.