Kempen sifar plastik di sekolah

0
2
Datuk Ahmad Ibrahim

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) komited dalam mempelbagaikan projek kitar semula di kawasan pentadbirannya.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kempen sifar plastik di sekolah.

Menurutnya, ia menjadi agenda utama dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar.

“Dengan jumlah penduduk yang bertambah dan pesat, aktiviti pembangunan ekonomi, teknologi dan penggunaan sisa pepejal juga meningkat.

“Oleh itu, sebagai warga bandar, pelbagai kaedah perlu kita lakukan bersama demi mencapai kesejahteraan alam sekitar termasuk menyasarkan kadar kitar semula lebih tinggi daripada apa yang yang sudah kita lakukan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Kempen Penggunaan Sifar

Plastik 2022 di SK Matang Jaya, di sini, semalam.

Ahmad menjelaskan, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan komuniti sekolah tentang kesan pembuangan sisa plastik secara tidak wajar terhadap kesihatan manusia serta alam sekitar.

Tambahnya, ia juga memberi kesedaran kepada pelajar dalam membasmi dan mengawal pembuangan sisa plastik secara haram di tepi jalan.

“Adalah menjadi harapan saya agar kerjasama erat antara MPP dengan SK Matang Jaya dapat menyumbang kepada kepakaran dan tenaga diperlukan demi faedah bersama termasuk untuk pelajar serta penduduk setempat dalam menjayakan program ini,” ujarnya.

Memandangkan Kempen Penggunaan Sifar Plastik 2022 mendapat sambutan amat menggalakkan, beliau mendedahkan MPP akan memperluas program tersebut ke sekolah lain yang berminat..

Bagi tahun ini katanya, MPP berjaya melaksanakan enam program seperti itu di sekolah rendah di bawah pentadbirannya.

Guru Besar SK Matang Jaya Ensnat Musa turut hadir.