Gadis 22 tahun dari Lundu didenda RM30,000

0
4
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang gadis berusia 22 tahun dijatuhi hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam mengendalikan mesin judi atas talian dan menjual loteri awam haram, Februari lepas.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Olivia Della Jambai berasal Kampung Rayu, Lundu, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengendalikan mesi judi menggunakan sebuah telefon bimbit di sebuah kedai makan di Siburan sekitar jam 1 petang, 2 Februari lalu.

Oleh sebab itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4B (a) ARJT 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap mesin judi dan penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Syarifah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau empat bulan penjara terhadap tertuduh.

Manakala, bagi pertuduhan kedua dia didakwa di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan aktiviti judi loteri awam haram di tempat yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 dan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau lima bulan penjara terhadap tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan telah membuat serbuan di sebuah kedai makan di Siburan sekitar jam 1 petang, 2 Februari lalu, selepas mengesyaki terdapat aktiviti judi dalam talian menggunakan aplikasi dalam telefon pintar dan menahan seorang wanita yang berada di kaunter.

Barang-barang kes turut dirampas seperti seunit telefon pintar, wang tunai berjumlah RM280, sekeping keratan kertas bertulis angka-angka disyaki nombor loteri haram dan sebatang pensil.

Hasil siasatan dan laporan pakar judi mengesahkan telefon pintar yang dirampas milik tertuduh digunakan sebagai mesin judi, seperti yang dinyatakan di bawah tafsiran Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Manakala, sekeping kertas bertulis angka-angka empat digit merupakan set nombor yang dipertaruhkan dalam loteri awam haram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili seorang peguam.