Dekatkan rakyat dengan kerajaan

0
2
TERIMA WATIKAH... KMKK bagi kawasan Dun Piasau menerima surat pelantikan masing-masing yang diserahkan sendiri oleh Sebastian Ting, Abdul Aziz dan Siti Rohanie.

MIRI: Empat Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan Dun Piasau dilantik bermula 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2026.

Mereka yang dilantik menyandang itu merangkumi Penghulu Yong Kar Seng (kawasan Bakam, Interhill, Luak Bay, Airport Road, Jalan Miri-Bintulu) dan Penghulu Pon Hon Kin (kawasan Tanjong, Brighton Road, Miri Town Area, Canada Hill, Padang Kerbau).

Dua lagi iaitu Penghulu Lee Thin Hin (kawasan Miri Waterfront, Peninsula Road, Pulau Melayu, Piasau Camp, Pantai Lutong, Lutong Bazaar, Sealine Road) dan Ketua Kaum (KK) Aminuddin Morshidi (kawasan Lereng Bukit, Miri)

Majlis penyerahan surat pelantikan disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) yang juga Adun Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

Majlis anjuran Pejabat Daerah Miri itu dihadiri Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusuf.

Terdahulu Sebastian Ting berkata, ketua masyarakat memainkan peranan sangat penting dalam membantu mendekatkan rakyat dengan kerajaan.

“Mereka ini menjadi orang tengah dalam membantu komuniti dan menyampaikan dasar serta perkhidmatan kerajaan kepada kumpulan sasar,” katanya.

Menurut Sebastian Ting, ketua masyarakat menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan pemasalahan rakyat kepada wakil rakyat.

“Apa-apa isu yang membabitkan rakyat boleh disampaikan kepada kami sebagai wakil rakyat seterusnya kita akan mencari jalan penyelesaian bersama,” ujarnya.

Wakil rakyat akan sentiasa memberikan tumpuan dalam membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.