Daripada mana sumber kewangan PN?

0
9

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil mempersoalkan dari mana datangnya sumber kewangan Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu kerana mereka dilihat seakan-akan ‘mewah’ ketika berkempen.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut meminta para penyokong serta jentera untuk bertanyakan sumber kewangan gabungan itu kepada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apabila mereka (PN) berbelanja besar semasa PRU, jadi kita terfikir adakah sebahagian daripada RM60 bilion itu tadi digunakan untuk dana pilihan raya mereka? Saya pergi Tioman minggu lepas saya tanya kepada pengundi Pas, saya kata saya tahu PPBM ada beri dana kepada Pas untuk buat kempen dan sebagainya.

“Saya nak mereka tanya Tan Sri Muhyiddin dari mana datangnya sumber-sumber kewangan ini? Adakah daripada sumber-sumber halal? Kalau ianya datang daripada sumber judi dan rasuah daripada RM600 bilion itu, saya ingat sebab itulah kemenangan mereka ini tidak berkat walaupun mereka menang 73 kerusi. Ini hakikat yang mereka perlu terima,” katanya seperti dilapor Umno Online.

Jelasnya, kempen yang mendakwa diri mereka ‘Bersih dan Stabil’ membuatkan gabungan tersebut berjaya memperoleh 79 kerusi parlimen semasa PRU ke-15.

“Ramai orang tanya macam mana PN boleh menang sampai 79 kerusi maka kita buat sedikit analisis. Ianya berdasarkan dua faktor. Pertama, kempen yang mengatakan mereka ini ‘Bersih dan Stabil’. Mereka katakan mereka bersih dan dalam pada masa yang sama kutuk kita Barisan Nasional (BN) rasuah, tidak bersih.

“Keduanya, adalah disebabkan duit. Kita tengok banyak kawasan dan kubu kuat kita tiba-tiba kalah dengan majoriti yang besar. Banyak laporan yang kita dapat termasuk dengan video mereka (PN) beri tunai kepada pengundi. Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan perlu disiasat,” katanya lagi.