Tujuh tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah dalam kebakaran

0
4
PADAM…Anggota bomba memadam bara api kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Sitang.

PADAWAN: Seramai tujuh penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka di Kampung Sitang, di sini musnah dalam kebakaran semalam.

Kesemua mangsa berumur antara dua hingga 49 tahun dilaporkan selamat dalam kejadian dan tidak mengalami kecederaan.

MUSNAH…Rumah setingkat musnah dalam kebakaran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 7.23 malam.

“Seramai tujuh anggota termasuk jentera dan pikap dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bergegas ke lokasi kejadian dan dibantu oleh tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok.

“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, kebakaran membabit sebuah rumah jenis struktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semasa kejadian, penduduk kampung turut membantu memadam kebakaran menggunakan sumber air paip dari gunung sebelum ketibaan pihak bomba.

Sementara katanya, pihak bomba menjalankan kerja-kerja memadam bara api menggunakan ‘hosereel’.

Katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.