Empat import baharu Kuching City

0
1
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF...Iswandy Ali Hassan.

KUCHING: Tonik berganda bagi skuad Kuching City FC (KC FC) dalam mengharungi kempen Liga Super 2023.

Barisan kendalian jurulatih berpengalaman luas (Irfan Bakti Abu Salim) akan menerima kemasukan empat import baharu dari negara berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif, KC FC, Iswandy Ali Hassan menegaskan, empat pemain import baharu pasukannya dari negara Uzbekistan, Burundi, Serbia dan Timor Leste.

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF…Iswandy Ali Hassan.

Sekali gus kata Iswandy, menjadikan semua tenaga import dalam kem The City Boys ketika ini enam orang kesemuanya termasuk Abu Kamara dan Yuki Tanigawa yang masih dikekalkan dalam skuad terbabit.

“”Setakat ini ada enam orang pemain import Kuching City dengan termasuk empat muka baharu,” ujar Iswandy kepada Arena Suara Sarawak.

Tegasnya, besar kemungkinan berlaku pertambahan terhadap kouta import dalam pasukannya.

Ini kerana pihaknya ketika ini masih dalam rundingan dengan seorang lagi pemain pertahanan musim ini (Aylton Ferreira Ananias).

“Dia (Aylton Ferreira Ananias) masih dalam pertimbangan dan belum ada keputusan sama ada beliau akan terus kekal bersama Kuching City atau tidak,” tambah Iswandy.

Sambil itu, beliau menyatakan pihaknya hanya akan mengumum secara rasmi barisan pemain import baharu Kuching City sebaik sesi latihan kembali bermula pada 23 Disember ini.