Wan Junaidi arkitek kerajaan perpaduan

0
7
an Junaidi Tuanku Jaafar

Keadaan parlimen tergantung (hung Parliament) selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 berakhir apabila Dato’ Sri Anwar Ibrahim dipilih mengetuai sebuah kerajaan perpaduan (unity government) yang direalisasikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja.

Kegagalan parti utama mendapat majoriti mudah menunjukkan politik negara telah memasuki era perpaduan (unity) antara parti gabungan, parti tunggal serta Bebas bagi mencukupkan bilangan 112 kerusi dalam Parlimen dan membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

Secara rasmi, kerajaan perpaduan telah mengumpul majoriti dua pertiga yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH).

Umum mengetahui sewaktu parlimen tergantung terdapat cubaan parti-parti tertentu memujuk wakil rakyat untuk melompat dan menyertai parti gabungan lain membentuk kerajaan.

Jika sebelum ini cubaan tersebut dilakukan dengan menggunakan SD individu bagi menukar sokongan namun selepas PRU 15 terdapat faktor penghalang yang sangat penting dan tidak boleh diabaikan sama sekali.

Faktor tersebut ialah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 [Akta A1663] yang melarang Ahli Dewan Rakyat melompat dan bertukar parti.

Secara mudah untuk difahami, Undang-Undang Anti Lompat Parti hanya membenarkan gabungan politik menyokong gabungan lain secara keseluruhan atau ‘en bloc’ mengikut ketetapan yang diputuskan oleh ketua parti yang mengeluarkan watikah pencalonan kepada calon.

Sekiranya Ahli Parlimen bertindak sesuka hati melompat maka beliau telah mengingkari arahan parti dan perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi.

Apa yang menarik Undang-Undang Anti Lompat Parti baharu dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2022 setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung iaitu kira-kira 6 minggu sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 November 2022.

Menteri yang bertanggungjawab menggubal Rang Undang-Undang itu ialah Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengemudi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen, Jabatan Perdana Menteri.

Untuk rekod beliau berjaya melaksanakannya dalam tempoh tidak sampai setahun yang merupakan sebahagian daripada persetujuan dan komitmen bersama dalam MOU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan Persekutuan serta Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

Maklumat yang diperolehi daripada sidang media, bahan penulisan serta wawancara, mendapati bahawa tugas melaksanakan pindaan akta ini tidak mudah kerana melibatkan struktur perlembagaan dan perundangan serta kekangan waktu yang sangat mencabar.

Pada pertengahan bulan Januari 2022 sebuah Jawatan kuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik ditubuhkan bagi memperincikan perkara dasar serta kerangka perundangan yang bakal dicadangkan di Parlimen.

Jawatan kuasa tersebut berunsur bipartisan yang disertai oleh 4 wakil kerajaan dan 4 wakil PH yang dipengerusikan bersama oleh Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi dan wakil PH iaitu Dato’ Seri Saifudin Nasution.

Mengikut jadual asal, Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada hari terakhir sidang pertama tahun 2022 iaitu 24 Mac namun terpaksa dibatalkan.

Pembatalan ini menimbulkan beberapa kritikan dan keraguan kepada keikhlasan kerajaan namun sebenarnya adalah penangguhan bagi memperkemaskan takrifan “lompat parti” yang perlu diperhalusi kerana membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

Tugas ini bukan sesuatu yang mudah namun Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi berkeyakinan penuh dapat melaksanakannya.

Beliau seorang yang sangat tekun, cermat, dan berkeupayaan untuk menggubal Rang Undang-Undang sepertimana yang dilakukan dalam penggubalan Rang Undang-Undang Undi 18 Tahun dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau memuatnaik hantaran di Facebook yang menyatakan; “Saya harus tulus dan memikir pelaksanaan dasar ini secara mendalam, dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga untuk memuaskan hati beberapa pihak yang hanya tahu memberi tekanan tanpa memikirkan impaknya di masa hadapan jika pelaksanaan ini tidak dibuat dengan teliti.

Apabila diberi tanggungjawab, saya akan memberikan komitmen yang terbaik untuk memastikan pelaksanaannya.”

Sebanyak 12 sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara serta seluruh parti-parti komponen termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, dan Jabatan Peguam Negara.

Langkah awal ialah meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Fasal 3A selepas Fasal 3 bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.

Pindaan ini turut memberi punca kuasa (enabling clause) bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal dan diluluskan di Parlimen.

Pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dibentang pada Sidang Khas Parlimen pada 11 April 2022.

Serentak pada hari yang sama proses gubalan akta ini memasuki fasa kedua apabila sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuhkan di bawah Peraturan 81 (1) bagi memuktamadkan Rang Undang-Undang ini sepertimana usul Peraturan Mesyuarat 54(2).

Ia bertujuan untuk meneliti dan memuktamadkan draf Undang-Undang Pindaan Perlembagaan dan RUU berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas ialah YB Dato’ Seri Azalina Othman Said (Pengerang), YB Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), YB Dato’ Seri Hamzah Zainuddin (Larut), YB Dato’ Seri Takiyudin Hassan (Kota Bharu), YB Lukanisman Awang Sauni (Sibuti), YB Gobind Singh Deo (Puchong), YB Mohd Hanipa Maidin (Sepang), YB Dato’ Seri Panglima Madius Tangau (Tuaran), YB Dato’ Seri Saifudin Nasution Ismail (Kulim Bandar Bharu), dan YB Dato’ Ignasius Dorell Leiking (Penampang).

Jawatankuasa ini diberi kebebasan untuk menjemput atau mendapatkan pandangan bertulis (written submission) daripada badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan pakar akademik berkaitan parameter gubalan Rang Undang-Undang ini selaras dengan usul yang dikemukakan.

Ia mendapat sokongan daripada Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal UndangUndang, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah mengadakan beberapa siri mesyuarat untuk berbincang dan mencari kata sepakat dalam beberapa perkara dasar mengenai gubalan Rang Undang-Undang ini.

RUU Anti Lompat Parti ini akan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10, 48, dan penggubalan Artikel 49(a) manakala pindaan juga akan dibuat dalam Perkara 160 dan Jadual Lapan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan Rang UndangUndang yang dicadangkan itu hanya terpakai kepada ahli Parlimen yang keluar parti dan memutuskan untuk menjadi ahli bebas atau bertukar kepada parti lain.

Bagaimanapun sekiranya Ahli Parlimen itu dipecat oleh parti, mereka masih boleh mengekalkan kedudukan masing-masing di kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.

Ia bukanlah undang-undang yang akan dikenakan kerajaan terhadap wakil rakyat yang culas melaksanakan tanggungjawab, sebaliknya memberi semula kuasa kepada pengundi kawasannya membuat pilihan.

Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kali keenam pada 7 Jun 2022 telah bersetuju dan memuktamadkan draf Rang Undang-Undang Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No. 3) 2022 untuk dibentangkan serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Semua persoalan dasar yang dibangkitkan Jemaah Menteri telah diulas dan dijawab oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Secara umumnya, Jawatankuasa Pilihan Khas ini telah berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April 2022.

Pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen bersama oleh semua ahli jawatankuasa dengan sokongan padu Parlimen Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara Malaysia I Attorney General’s Chambers Malaysia.

Bacaan Kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 Pindaan Dalam Jawatankuasa disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Julai dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 2022.

Seramai 54 Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada penyokong kerajaan dan pihak pembangkang menyertai perbahasan yang berlangsung selama dua hari.

Pengundian yang dijalankan mendapat sokongan seratus peratus daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang hadir sebanyak 209 orang manakala 11 tidak hadir.

Ini adalah kejayaan besar dan bersejarah untuk negara dan rakyat kerana buat julung kalinya peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti digubal melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Seterusnya pembentangan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022 juga mendapat majoriti sebanyak 52 orang Senator. Dalam sidang media yang dibuat selepas selesai persidangan Dewan Rakyat, Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi menyatakan; “Saya juga menegaskan bahawa kejayaan penggubalan Rang Undang-Undang ini sehingga diluluskan di Dewan Rakyat pada hari ini merupakan suatu permulaan yang baik ke arah kestabilan politik negara.”

Mengikut pewartaan kerajaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 mulai 5 Oktober 2022, maka pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A. dapat dikuatkuasakan dengan segera.

Ini seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 di peringkat Negeri, tertakluk perkenan Sultan/Tuan Yang Terutama/Raja Negeri Berkenaan.

Larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuatkuasa mengikut perkara baharu 49A (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang di-Pertua di bawah Fasal (3) jika – (a) setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik – (i) dia melepaskan keanggotaan parti politik itu; atau (ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; (atau) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.

Pengorbanan, kecekalan, dan keberhasilan yang dilakar oleh Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah mendapat pengiktirafan daripada seluruh rakyat negara ini.

Rata-rata mereka yang terkesan dengan Langkah Sheraton khususnya pemain politik melahirkan kesyukuran dan kegembiraan atas jasa besar Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi.

Antara komen terbaik yang sememangnya beliau patut terima ialah daripada Tuan Lim Kit Siang, mantan Pengerusi DAP.

Ketika berkempen dalam PRU ke-15 di Kerusi P122 Lanang, Sibu pada 8 November 2022, beliau secara terbuka menyebut; “Wan Junaidi is among the best Ministers in the Prime Minister’s Department in charge of Parliament and Law in the history of Malaysia unlike the rest of useless and incapable Ministers of the last jumbo-sized Cabinet.”

Penulis, Dr. Mohd Nazir Ibrahim Kajang, Selangor