Tiada bulan madu bagi kerajaan perpaduan

0
6
Datuk Seri Anwar Ibrahim

AKHIRNYA selepas lapan hari, barisan kabinet baharu didedahkan oleh Perdana Menteri pada jam 8.20 malam Jumaat.

Adakah sesuatu yang mengejutkan tentang kabinet itu?

Pasti tidak, di sebalik pelbagai spekulasi dan teka-teki dan tempoh penantian yang mendebarkan.

Ya, meskipun tidaklah selama ketika kita menunggu barisan kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad selama 11 hari pada 2018.

Yang pasti, ini bukan kabinet yang sempurna, tetapi tidak juga kabinet yang tempang.

Tempoh sekitar seminggu diperlukan untuk menyusun kabinet ini membayangkan tugas yang sukar dan mencabar di pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebab, beliau menjanjikan kabinet yang lebih kecil dan berintegriti kepada rakyat.

Mesyuarat diadakan sampai larut malam bagi memastikan tuntutan dan kehendak pemegang taruh diambil kira.

Meskipun tidaklah seperti dijangka sebanyak 25 menteri, setidak-tidaknya lebih kecil daripada kabinet di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebanyak 30 orang, dan kabinet Datuk Seri Ismail Sabri sebanyak 32 orang.

Jumlah menteri dan timbalan menteri di bawah Ismail Sabri yang terbanyak dalam sejarah, iaitu 70 orang, termasuk 32 menteri.

Manakala paling kecil di bawah Tuanku Abdul Rahman sebanyak 17 orang pada tahun 1960-an dan awal 1970-an.

Saya percaya tidak mudah bagi Anwar untuk membentuk kabinet yang padu dan efisien.

Semua faktor tentu telah diambil kira termasuk kelayakan, pengalaman, keupayaan dan potensi pemimpin terbabit.

Juga, tanpa mengetepikan faktor parti politik, kaum, agama, gender, usia dan wilayah.

Ada beberapa perkara menarik tentang kabinet ini.

Pertama, ini merupakan kabinet pertama dalam sejarah yang menampilkan dua Timbalan Perdana Menteri, seorang daripada Umno-BN dan seorang daripada PBB-GPS.

Tindakan itu amat bersejarah dan signifikan, sesuai dengan aku janji dalam manifesto PH menjelang PRU-15.

Kedua, pertama kali seorang Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak atau Sabah dilantik ke jawatan itu.

Ini satu tindakan drastik dan punya komitmen politik yang berani.

Sewajarnya sedemikian kerana hal ini menterjemahkan aspirasi awal pejuang kemerdekaan di Sabah dan Sarawak sehingga terbentuknya Malaysia pada 1963.

Juga, sejajar dengan aspirasi lebih enam juta rakyat di kedua-dua negeri itu.

Bukankah ini juga sesuai dengan perubahan landskap negara dan juga aspirasi merapatkan jurang politik dan sosial?

Bukankah ini juga serasi dengan azam untuk melahirkan negara bangsa yang lebih bersatu padi di bawah sistem persekutuan?

Ketiga, kabinet ini menjajarkan semula, menggabungkan atau menjenamakan semula kementerian tertentu termasuk pembangunan desa, keterjaminan makanan, kos sara hidup, reformasi institusi, hal-ehwal agama, dan perubahan iklim.

Perubahan dan penambahan itu merupakan manifestasi daripada aspirasi dan azam Perdana Menteri untuk menangani isu dan permasalahan berkaitan rakyat.

Selain tentunya, sesuai dengan tuntutan perubahan negara dan dunia yang kian getir dan mencabar.

Keempat, untuk pertama kali seorang wanita menerajui Kementerian Pendidikan, dan pertama kali pemimpin sama menerajui kementerian sama dua kali.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kembali menjadi Menteri Pengajian Tinggi selepas menerajuinya dari 2008 hingga 2013.

Kabinet ini menampilkan gandingan wajah baharu dan lama.

Dengan 14 muka baharu yang dianggap dinamik, energetik dan punya kearifan terutama dari PKR, dipercayai mereka akan dapat membantu Anwar Ibrahim menjadikan kabinet ini kabinet yang berfungsi.

Muka baharu yang lebih muda dalam kabinet ini tentunya menurunkan purata usia anggotanya.

Mereka perlu membuktikan bahawa kabinet ini ialah kabinet yang efisien dan bertindak atas prinsip integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Cabaran utama adalah untuk memastikan mereka dapat bekerja sebagai satu pasukan yang padu atas prinsip tanggungawab kolektif dan kerahsiaan.

Seyogia diingatkan, mereka terdiri daripada pelbagai parti politik dengan falsafah, ideologi dan dasar politik yang berbeza.

Menjelang PRU-15, mereka juga menawarkan pelbagai aku janji melalui manifesto masing-masing.

Mereka perlu segera mengetepikan perbezaan itu, sebaliknya hendaklah bekerja sebagai pasukan padu menuju hala tuju sama, diterajui Anwar sebagai pemimpin yang dinamik dan karismatik.

Gagal bukan pilihan.

Meskipun mereka saling bertempur dan melancarkan serangan sewaktu kempen, inilah realpolitik.

Atau adakah ini satu pragmatisme atau realpolitik yang perlu diterima walau dengan berat hati oleh penyokong masing-masing?

Segala yang kelihatan tidak mungkin menjadi realiti. Inilah realpolitik.

Meminjam ahli falsafah Itali Niccola Machiavelli, tujuan menghalalkan cara, maka akhirnya terbentuklah kerajaan yang kita saksikan sekarang.

Rakyat yang semakin kritis dan analitis akan memantau setiap menteri sama ada mereka bekerja keras atau menjadi liabiliti kepada Anwar dan rakyat.

Agenda utama mereka ialah memastikan permasalahan rakyat ditangani dengan berkesan, terutamanya kos sara hidup, inflasi, peluang pekerjaan, pendapatan yang sukar berkembang, isu kesihatan dan perumahan.

Mereka juga ingin reformasi serius dari segi pendidikan, institusi kerajaan yang menekankan doktrin pemisahan kuasa, usaha lebih berkesan menangani masalah kemiskinan, rasuah, menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan sebagainya.

Kabinet ini tiada masa untuk berbulan madu. Anwar akan segera mengadakan mesyuarat untuk menetapkan garis panduan, hala tuju kabinet ini dan agendanya.

Para menteri perlu menggariskan agenda dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka untuk dinilai oleh rakyat.

Mereka perlu komited dan fokus seratus peratus kepada tugas dan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu mereka.

Rakyat mahu kabinet yang prihatin dan mendengar keluhan dan rintihan mereka.

Ingat, kabinet ini perlu bekerja untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.

Justeru, mereka perlu menjalankan tugas dengan adil dan penuh tanggungjawab serta integriti.

Rakyat mahu kabinet ini mampu merawat penyakit yang dihidapi negara, dan memulihkan imejnya di peringkat antarabangsa.

Kabinet ini perlu meyakinkan rakyat dan dunia bahawa mereka adalah antara otak terbaik dan pintar di negara ini.

Rakyat hanya mahu beban hidup mereka diringankan dan kualiti hidup ditingkatkan.

Mereka mahukan Malaysia yang lebih stabil, bersatu padu, maju dan makmur.

Dato Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.