Selenggara dua bekas jalan balak dengan RM10 juta

0
14
UGGAH diapit Dr Nuing (kiri) dan Gerawat dan Dennis diberi taklimat oleh Stephen Ung.

MIRI: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10 juta untuk menyelenggara dua bekas jalan balak di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Mulu dan Telang Usan.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerja pelaksanaan projek itu sedang dijalankan.

“Kerja penyenggaraan pertama ialah di Jalan Long San ke Long Bangga dan Pa ‘Dalih ke Jalan Bario.
“Terdapat kira-kira 2,000 keluarga dari 250 rumah panjang yang berselerak di sepanjang jalan sepanjang 144 kilometer ini.

“Sebelum ini, jalan tersebut diselenggara oleh syarikat pembalakan (hanya di kawasan yang mempunyai aktiviti pembalakan).

Tetapi tiada kerja penyelenggaraan sama sekali sejak Julai 2021 apabila syarikat itu meninggalkan kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan beberapa projek yang diluluskan di dua kawasan itu di sini, Jumaat.

Jurutera Jabatan Kerja Raya bahagian Miri, Stephen Ung Neng Hui mengendalikan taklimat itu, yang turut dihadiri Adun Mulu, Datuk Gerawat Gala dan Adun Telang Usang, Dennis Ngau.

Turut hadir Senator, Datuk Dr Nuing Jeluing.

Mengenai projek kedua pula, beliau menjelaskan, projek melibatkan jalan sepanjang 32 kilometer dari Long Atip ke Long Terawan di Daerah Telang Usan dan berhampiran dengan Taman Negara Mulu.

“Keadaan jalan rosak dan penuh dengan jalan berlubang serta permukaan yang tidak rata.

“Ia tidak diselenggara sejak sebuah syarikat pembalakan meninggalkan kawasan itu kira-kira 10 tahun lalu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu perbincangan berhubung pembinaan jambatan keluli baharu merentasi SungaiTutoh di Baram turut diadakan.
“Projek ini dijangka siap pada Mac tahun depan. Pembinaannya tertangguh kerana cuaca buruk dan keadaan air pasang besar,” tambahnya.