Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei catat kejayaan

0
5
Len Talif menyampaikan hadiah kepada pemenang gerai tercantik Sarikei Kitchen, Annuar Basri, sambil diperhatikan tetamu jemputan yang lain.

SARIKEI: Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei mencipta kejayaan apabila mencatat jualan tertinggi sekali gus menjadi platform penting untuk menyuburkan ekonomi penduduk khususnya peniaga kecil.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, melalui penjenamaan semula, skop pesta itu menjadi lebih meluas yang bukan sekadar menyerlah potensi agro pelancongan tetapi juga menjana pendapatan rakyat.

Katanya, program berkenaan juga dapat meningkatkan sosio-ekonomi penduduk melalui pelbagai aktiviti keusahawanan, jualan dan promosi produk.

Len Talif menyampaikan hadiah kepada pemenang gerai tercantik Sarikei Kitchen, Annuar Basri, sambil diperhatikan tetamu jemputan yang lain.

“Pada tahun ini, kita menetapkan jualan keseluruhan sebanyak RM2.5 juta namun, berdasarkan sambutan positif orang ramai terhadap gerai jualan yang disediakan di tapak pesta, sasaran itu meningkat kepada RM3.5 juta iaitu melebihi RM1 juta.

“Jumlah ini tidak termasuk transaksi jualan di premis sekitar Sarikei.

Ini kerana, sepanjang pesta, kita dapat melihat peningkatan ketara jumlah pengunjung. Secara tidak langsung, ia juga mendorong peningkatan pendapatan golongan peniaga,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Rasmi Pesta di sini, semalam.

Pesta pada tahun ini merupakan edisi ke-17 penganjuran dengan penjenamaan semula kepada Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei.

Konsep penganjuran pesta itu secara kolaborasi dan smart partnership (kerjasama pintar) dengan pelbagai pihak serta kos penganjuran dibiayai bersama pihak-pihak yang berkaitan.