Lupakan sengketa politik, fokuskan pembangunan

0
5

SARIKEI: Lupakan politik dan beri tumpuan terhadap pembangunan demi kesejahteraan seluruh rakyat di negara ini, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Beliau berkata, negara mungkin berdepan cabaran ekonomi yang lebih besar pada masa depan, justeru pelbagai pendekatan perlu dilaksanakan sebagai persediaan awal.

Malah katanya, gandingan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara dalam segenap aspek.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri yang turut menerajui Kementerian Perladangan dan Komuniti.

Begitu juga atas pelantikan menteri lain dari Sarawak.

“Pada masa yang sama, kita juga menjangkakan lebih ramai lagi wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam barisan pentadbiran sebagai timbalan menteri.

Semoga dengan kepercayaan yang diberikan akan membawa kebaikan kepada kita di Sarawak,” katanya.

Belia berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke tapak Pameran Digital Pavillion, sempena Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei 2022, Jumaat.

Beliau juga berharap kabinet yang dibentuk itu dapat menggunakan mandat dengan sepenuhnya demi kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan negara.

Tambahnya, mereka perlu terus memberi tumpuan terhadap kebajikan serta meningkatkan taraf ekonomi seluruh rakyat.

“Pelantikan lima ahli parlimen kita dan jawatan TPM adalah satu pengiktirafan kepada rakyat Sarawak, GPS dan jenteranya.

“Semoga mandat dan tanggungjawab yang diberikan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneruskan usaha membangunkan negara demi kemakmuran dan kepentingan seluruh rakyat,” jelasnya.

Selain Fadillah, empat wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) ialah Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan), Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).