Lebih perhatian untuk S’wak

0
5
Datuk Idris Buang

KUCHING: Sarawak akan diberi lebih perhatian selepas lima ahli parlimen dari negeri ini dilantik untuk bersama membentuk Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Datuk Idris Buang berkata, ia penting kerana kelima-lima mereka akan menjadi suara kepada Sarawak.

“Kepentingan negeri ini dapat diberi perhatian dengan lebih baik apabila adanya perwakilan Sarawak dalam kabinet,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak, semalam.

Menurutnya, pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah pilihan bijak.

“Dengan pengalaman luas dalam bidang perundangan dan politik, beliau (Fadillah) adalah pilihan sesuai,” ujarnya.

Selain dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Fadillah turut diberi amanah sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula dilantik sebagai Menteri Kerja Raya manakala Datuk Seri Nancy Shukri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Jawatan Menteri Pelancongan diamanahkan kepada Datuk Seri Tiong King Sing manakala Datuk Aaron Ago Dagang sebagai Menteri Perpaduan Negara.