KWSP catat RM39.31 bil pendapatan pelaburan kasar

0
3

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022.

Jumlah berkenaan menurun 18% atau RM8.71 bilion, berbanding RM48.02 bilion direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2021.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga (S3 2022) berakhir 30 September 2022  berjumlah RM12.32 bilion, menurun sebanyak RM1.65 bilion atau 12%, berbanding RM13.97 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021, lapor Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Walau bagaimanapun, ini juga mewakili peningkatan 11% berbanding S2 2022.

Jelasnya, berikutan keadaan pasaran pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap yang stabil, KWSP telah mencatatkan prestasi suku ketiga yang lebih baik daripada pendapatan pelaburan kasar suku sebelumnya sebanyak RM11.14 bilion.

“Terdapat kebimbangan bahawa kadar faedah yang lebih tinggi akan mendorong kepada kemelesetan global, ditambah dengan risiko geopolitik yang berterusan dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (The Fed).

“Walau bagaimanapun, di sebalik cabaran ini, pendekatan pelaburan KWSP yang berdisiplin, berpandukan Alokasi Aset Strategik yang mantap dan pengurusan portfolio yang aktif, membantu mengurangkan impak dan membolehkan KWSP memberikan prestasi yang stabil didorong  lonjakan kukuh dalam pasaran domestik,” katanya.

Kata beliau lagi, dalam suku tahun yang dikaji, Ekuiti menyumbang RM5.49 bilion, merangkumi 45% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

“Di sebalik peningkatan ketidaktentuan pasaraan, KWSP berjaya mencatatkan pertumbuhan suku ke suku yang sihat sebanyak 13% untuk pendapatan pelaburan kasar daripada portfolio ekuitinya.

“Ekuiti Persendirian, yang merupakan sebahagian daripada kelas aset ini, telah berjaya memberikan pendapatan direalisasi yang memberangsangkan sebanyak RM1.09 bilion atau 20% daripada jumlah pendapatan Ekuiti yang dicatatkan pada suku tahun tersebut,” katanya.

“Portfolio ini menjadi semakin penting untuk KWSP dalam usaha kepelbagaiannya kerana ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti tersenarai kekal tinggi,” jelas beliau.

Instrumen Pendapatan Tetap, kekal sebagai tunjang kepada KWSP dalam memelihara modal dan memberikan aliran pendapatan yang stabil, mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP.