Jelajah Sarawak guna kereta sendiri

0
8

KUCHING: Program Jelajah Sarawak dari Kuching ke Gedong yang julung kali diadakan semalam dijangka dapat meningkatkan industri pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tersebut dapat memberikan pengalaman kepada pelancong merasai pengembaraan menggunakan kenderaan sendiri ke destinasi tertentu.

Malah katanya, buku panduan turut disediakan untuk membimbing pelancong sama ada dari Sarawak atau luar yang akan melawat ke destinasi tarikan pelancong di negeri ini.

“Kesemua destinasi tersebut berada di kawasan lingkaran bandar dan perjalanan ke destinasi paling lama mengambil masa sekitar dua jam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Jelajah Sarawak dari Kuching ke Gedong di Tebingan Sungai Kuching di sini, Jumaat.

Sehubungan itu, Abdul Karim berharap lebih banyak produk pelancongan seperti itu diperkenalkan agar dapat memudahkan pelancong dan pengunjung untuk melancong serta meneroka destinasi menarik di Sarawak.

“Dengan adanya program seperti ini, ia boleh memberi kebebasan kepada pengunjung dan pelancong untuk mengembara mengikut masa dan minat mereka sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk menambah baik sambungan Internet di seluruh kawasan termasuk di pedalaman.

Ini kerana katanya, sambungan Internet baik di kawasan seperti Kuching, Samarahan dan Bau, namun, di beberapa kawasan terutama di luar bandar, kurang memuaskan.

“Misalnya, jika program ini dilancarkan di Sibu dan ke Kapit, sepanjang perjalanan mereka mahu singgah ke beberapa rumah panjang tetapi rangkaian Internet tidak ada menyebabkan mereka tidak dapat mengakses maklumat yang diperlukan.

“Oleh itu, bagi memastikan produk pelancongan seperti ini berkembang maju, kita mesti mempunyai jaringan Internet yang baik.

“Saya berharap mereka yang bertanggungjawab dapat menyediakan jaringan Internet di seluruh kawasan bagi membantu meningkatkan industri pelancongan di Sarawak,” jelasnya.