Inilah hadiah selepas 60 tahun bersama Malaysia

0
9
George Young Si Ricord Junior

KUCHING: Setelah lebih 60 tahun, akhirnya Malaysia dapat menyaksikan rakyat Sarawak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, kata George Young Si Ricord Junior.

Presiden Pertubuhan Habitat Indigenous Daerah Untuk Permulihan (Hidup) itu berkata, mereka mengucapkan tahniah kepada Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof kerana menjadi individu pertama dari Sarawak dilantik menjawat jawatan tersebut.

Menurutnya, Fadillah juga turut memegang portfolio di Kementerian Perladangan dan Komoditi, sekali gus menyaksikan lima ahli parlimen GPS secara keseluruhan dilantik sebagai menteri penuh.

“Justeru, dengan peningkatan bilangan ahli parlimen GPS di peringkat persekutuan, kami menggesa mereka untuk membawa aspirasi rakyat Sarawak ke sana,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, Jumaat.

Kabinet Kerajaan Perpaduan itu juga menyaksikan Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilantik sebagai Menteri Kerja Raya; Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan; dan Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang sebagai Menteri Perpaduan Negara. George Young menambah, dengan pengumuman kabinet itu, sudah tiba masanya kepimpinan Kerajaan Persekutuan memberikan tumpuan kepada pembinaan semula negara.

Katanya, pihaknya bersyukur kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mencari penyelesaian untuk menangani peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.

“Anwar perlu memimpin dengan baik dan melaksanakan sesuatu untuk mewujudkan keyakinan pelabur luar negara dan tempatan,” tegasnya.