Infrastruktur digital Sarawak berkembang

0
6
IRTIDZAR RAZALI merakam gambar bersama-sama rakan media pada Majlis Makan Malam Bersama-sama Media di Kafe Commons, Old Court House, Kuching

KUCHING: Sarawak merupakan sebuah negeri yang bertuah kerana mempunyai kerajaan yang komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk pembangunan infrastruktur digital dan ketersambungan.

Pemangku Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Irtidzar Razali berkata, inisiatif tersebut penting bagi keperluan semua lapisan masyarakat seiring untuk menuju ke arah pendigitalan dan Internet Benda (IoT).

“Susulan itu, Kerajaan Sarawak memperkenalkan pelan lima tahun iaitu Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018 hingga 2022 menggariskan 47 tindakan strategik untuk memacu Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Selain itu, penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) dan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 turut membantu memacu Sarawak ke arah aspirasi transformasi digital khususnya untuk menjadi kuasa ekonomi digital berpendapatan tinggi dan saksama.

“Tindakan strategik di bawah agenda ekonomi digital Sarawak ini diyakini dapat memacu pertumbuhan ekonomi kerana Kerajaan Sarawak komited untuk mengembangkan infrastruktur digital di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama-sama Media di Kafe Commons, Old Court House, di sini, kelmarin. Tambahnya, perkembangan tersebut perlu untuk menghubungkan kawasan luar bandar dan kawasan yang kurang berdaya maju dalam pelbagai aspek pada masa akan datang.

Oleh itu katanya, penting untuk semua pihak berkepentingan terutamanya media di Sarawak memahami serta berkongsi semangat dan komitmen sama dengan mengambil bahagian secara aktif dalam pendigitalan dan perjalanan ekonomi digital negeri ini.

Sementara itu, beliau bangga terhadap kejayaan aplikasi SPay Global (sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay) sejak pelancaran pada 2017.

“Aplikasi tempatan ini berkembang dengan pesat apabila platform ini telah mendaftar kirakira 657,824 (setakat 27 November 2022) pengguna dengan 86,154 peniaga seluruh negeri sejak mula diwujudkan.

“Aplikasi tersebut berjaya melakukan transaksi sebanyak RM66.7 juta dengan jumlah nilai lebih RM2.8 bilion,” katanya.