Harap selesaikan isu MA63

0
4
Profesor Dr Neilson Ilan Mersat

KUCHING: Isu perjuangan menuntut hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diharapkan dapat diselesaikan susulan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik Dr Neilson Ilan Mersat berkata, pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri melakar sejarah baharu dalam politik Malaysia kerana menjadi ahli Parlimen pertama dari Borneo dilantik memegang jawatan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah atau isu berkaitan MA63 dapat diselesaikan kerana ia sudah lama diperjuangkan.

“Diharapkan isu yang timbul melibatkan MA63 dapat diselesaikan dengan kehadiran seorang Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak.

Sudah tiba masanya untuk menyelesaikan perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu Neilson turut berharap lebih ramai ahli parlimen dari Sarawak akan dilantik menjadi timbalan menteri dalam usaha membantu meningkatkan pembangunan di Sarawak.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan perlu memberi penekanan kepada unsur perpaduan di negara ini.

“Ini bermakna tiada wilayah yang harus dipinggirkan dari segi pembangunan supaya rakyat sentiasa merasa dihargai.

Sementara itu menurutnya, ruang siber perlu dibersihkan daripada unsur hasutan yang boleh memecahbelahkan perpaduan yang sedia terjalin.

“Misalnya dalam kenyataan yang dilakukan oleh pelampau kaum, agama atau wilayah dan sebagainya kerana jika dibiarkan akan melahirkan pelampau yang menjejaskan perpaduan dalam negara,” ujarnya.