Greater Kuching libatkan kerjasama 9 kawasan DUN

0
12
BERCAKAP… Ik Pahon bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan program Mini Lab GKCDA di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian di sini, hari ini.

SERIAN: Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) akan melibatkan kerjasama sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Antara kawasan Dun tersebut adalah Tanjung Datu; Tasik Biru; Serembu: Mambong; Tarat; Tebedu; Bukit Semuja; Kedup; dan Opar.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA Datuk Ik Pahon Joyik berkata kerjasama daripada Adun di kawasan tersebut juga adalah penting kerana mereka rapat dengan rakyat dan sememangnya berada di lapangan.

“Jadi ini mudah untuk mereka mendapatkan maklumat penting berhubung isu dan cabaran serta potensi pembangunan melibatkan kawasan masing-masing.

“Walaupun mereka ini diberikan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) mungkin ada projek besar yang berimpak tinggi sukar dilaksanakan susulan isu peruntukan.

“Jadi projek seperti itulah yang boleh dilaksanakan di bawah GKCDA, kerjasama sembilan Adun itu amat penting untuk memastikan kita mampu mencapai objektif yang telah disasarkan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Mini Lab GKCDA di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian di sini, hari ini.

Mengenai program tersebut, beliau memaklumkan pihaknya berusaha untuk mengumpul maklumat dari peringkat akar umbi khususnya berkaitan projek yang sedang dilaksanakan dan telah mendapat kelulusan bagi mengelakkan berlaku pertindihan projek.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn merangkap Adun Tarat sebelum ini memaklumkan bahawa GKCDA yang baharu ditubuhkan itu mendapat dana RM1.5 bilion daripada Kerajaan Sarawak.

Menurutnya, Ik Pahon yang juga bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik dilantik ketua pegawai eksekutif pertama GKCDA.