Cabaran dan dorongan

0
4
Datuk Sri Nancy Shukri

KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri menganggap pelantikan beliau sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai tanggungjawab dan amanah besar.

Beliau berkata, ia juga merupakan cabaran serta dorongan untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Insya-Allah, pengalaman dan hubungan baik bersama-sama ahli jemaah menteri merentasi fahaman politik akan saya manfaatkan sebaiknya.

“Ia sebagai usaha untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Menurutnya, kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atas kepercayaan diberikan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

serta seluruh kepimpinan parti selain sokongan padu rakyat.

“Tidak dilupakan juga kepada ahli keluarga yang sentiasa bersama-sama saya menyokong setiap masa diikuti dengan seluruh warga dan kakitangan kerajaan yang sentiasa komited bertugas demi melaksanakan amanah rakyat,” ujarnya.

Nancy juga menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan ketenteraman rakyat Malaysia.

Menurutnya, setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Perdana Menteri
Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan melantik beliau untuk terus berkhidmat kepada rakyat.