Usaha tanah untuk pertanian komersial

0
8
NICHOLAS (tengah) dan Robert bergambar bersama-sama penerima anak pokok durian.

KAPIT: Pemilik tanah di kawasan Dun Baleh digalak mengusahakan tanah mereka untuk pertanian komersial, gesa Adun Baleh Nicholas Kudi Jantai.

“Penduduk rumah panjang mempunyai banyak tanah. Bagaimanapun, tanah-tanah tersebut terbiar dan tidak diusahakan secara produktif.

“Kerajaan melalui Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) telah memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur yang membolehkan pelbagai manfaat dapat dinikmati antaranya sektor pertanian dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan 6,000 anak pokok durian daripada Jabatan Pertanian, di sini, Jumaat.

Pegawai Daerah Bukit Mabong Robert Liman turut hadir. Penerima anak pokok durian berkenaan sebelum ini memohon anak pokok itu tersebut daripada Jabatan Pertanian Daerah Kapit. Menurut Nicholas, jalan telah dibina dari Nanga Mujong ke Putai, Baleh, malah jalan penghubung turut dibina untuk menghubungkan rumah panjang bagi menyediakan pengangkutan darat yang selesa.

“Peluang ini harus dimanfaatkan oleh pemilik tanah. Dengan adanya jalan, ia akan memudahkan urusan mereka lebih-lebih lagi untuk mengkomersialkan tanaman mereka,” tambahnya.

Justeru, beliau turut menggesa pemilik tanah di kawasannya untuk memastikan tanah mereka diusahakan untuk pertanian komersial bagi menjana pendapatan.