Pemaju swasta bekerjasama bina Spektra di Sarawak

0
9
CENDERAHATI... Tan Kai menerima cenderahati daripada pengerusi Sheda Cawangan Kuching, Datuk Sim Kiang Chiok (kiri).

KUCHING: Pemaju perumahan swasta digalakkan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi menyediakan lebih banyak perumahan pertama di bawah Spektra Lite, Spektra Medium dan Spektra Plus.

Setiausaha Politik Premier Sarawak, Tan Kai berkata, kediaman di bawah kategori Spektra Lite antara yang paling murah, dijual dengan kadar harga RM100,000 hingga RM120,000.

“Keluasan tanah 700 kaki persegi, dan syaratnya mestilah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM4000.

“Kategori kedua ialah Spektra Sederhana dan harga antara RM135,000 hingga RM168,000 untuk keluasan tanah 755 kaki persegi, dan syaratnya ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Jerayawara Rumah dan Hartanah 2022 Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) cawangan Kuching di Aeon Mall di sini Khamis.

Tan juga menambah, bagi Spektra Plus, anggaran harga adalah dari RM150,000 hingga RM198,000 dengan keluasan 833 kaki persegi dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM6000.

“Justeru, saya ingin menyeru semua pemaju perumahan swasta untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pembeli rumah kali pertama menyemak maklumat dan lokasi berkaitan di Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) sebelum mereka memutuskan untuk membeli rumah pertama mereka.