Khaled, kali kedua terajui Kementerian Pendidikan Tinggi

0
4
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin FOTO: FB

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi bertekad untuk melonjakkan sektor pengajian tinggi negara ke tahap yang lebih baik demi manfaat untuk semua rakyat di negara ini.

“Saya pohon doa dan kerjasama semua untuk menjayakan misi penting negara ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya.

Semalam, Khaled yang juga ahli parlimen Kota Tinggi bersama-sama 26 menteri lain termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, di sini.

Ini merupakan kali kedua Khaled menerajui kementerian terbabit selepas pertama kali menerajuinya dari 2008 hingga 2013.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada istiadat itu.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Khaled berkata bermulalah tanggungjawab dan amanah sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.