Hak Sarawak jadi keutamaan

0
2
MESRA...Abang Johari diiringi Ibrahim ketika tiba untuk meraikan Malam Kelab Penyokong GPS di Hotel Raia Kuching. • Foto RAMIDI SUBARI

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi keutamaan negeri. Katanya, MA63 perkara yang perlu diteruskan perjuangannya oleh Kerajaan Sarawak.

“Hanya rakyat Sarawak yang tahu apa yang diperlukan negeri ini. Kami akan melakukan yang terbaik untuk menjaga Sarawak. “Saya berharap Perdana Menteri baharu kita dapat menunaikan tanggungjawabnya terhadap hak kita untuk MA63,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Malam Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia.

Menurutnya lagi, jawatan Timbalan Perdana Menteri di peringkat persekutuan bukanlah satu keutamaan. “Namun, apabila ia sudah ditawarkan, kita ambil peluang tersebut,” katanya ringkas.

Sementara, Abang Johari menegaskan bahawa matlamat Kerajaan Sarawak untuk mencapai kestabilan kerajaan.

Tambahnya, 23 daripada 31 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu menunjukkan Sarawak memainkan peranan tersendiri dalam Kerajaan Persekutuan.

“Percayalah, Sarawak akan menjadi sebuah negeri sebagai kuasa ekonomi untuk Malaysia, seluruh Malaysia dari segi kuasa ekonomi.

“Sarawak mempunyai masa depan yang cerah, kerana ekonomi baharu kita, dalam empat tahun lalu bajet kita telah melebihi 10 bilion,” katanya.

Beliau kemudian menambah bahawa projek karbon hutan Sarawak yang akan dimulakan pada suku pertama 2023 adalah contoh masa depan ekonomi Sarawak yang cerah.