Chong: Demi kestabilan, sokongan lebih kukuh

0
5
DAP Sarawak

KUCHING: Demi kepentingan umum kestabilan dan sokongan yang lebih kukuh, Perdana Menteri  Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju dengan tuntutan segelintir pihak untuk mengetepikan ahli parlimen DAP dari Sarawak, dakwa Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen.

“Kami faham  demi kepentingan umum kestabilan dan sokongan yang lebih kukuh, perdana menteri telah bersetuju dengan tuntutan tersebut,” kata Chong, yang juga ahli parlimen Stampin pada satu kenyataan di Facebook.

Katanya, DAP melalui inisiatifnya dapat menghalang Bersatu dan PAS daripada membentuk kerajaan persekutuan.

“Kami menyeru ahli dan penyokong kami supaya tidak kecewa dengan ketiadaan mana-mana ahli parlimen daripada DAP Sarawak dalam kabinet menteri.

“Walaupun ada sesetengah pihak yang mahukan DAP Sarawak dilemahkan dan dihapuskan, kita harus bekerja lebih keras untuk memastikan bukan sahaja kita tidak akan lemah malah kita akan terus bertambah​​ kuat,” kata Chong lagi.

Katanya, PH Sarawak menegaskan perjuangan DAP bukan untuk mendapatkan jawatan menteri, tetapi  ingin melihat cita-cita mereka dilaksanakan sebagai dasar untuk kebaikan negara dan rakyatnya.