Alexander yakin dapat pikul tugas

0
15
Alexander (kanan) bersama Fadilah (tengah) dalam majlis pengurniaan watikah pelantikan di Istana Negara

KUCHING: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yakin mampu memikul tugas sebagai Menteri Kerja Raya dengan bimbingan dan nasihat daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof.

Katanya, pengalaman Fadilah yang memegang portfolio tersebut selama hampir lapan tahun cukup sebagai panduan beliau untuk menerajui tanggungjawab sebagai menteri Kementerian Kerja Raya (KKR) itu kelak.

“Esok saya akan memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Kerja Raya yang sebelum ini diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof.

“TPM (Fadilah) pernah memegang portfolio sebagai menteri KKR antara Mei 2013 hingga Mei 2018 sebelum dilantik ke kementerian sama antara 10 Mac 2020 – 16 Ogos 2021 dan antara 30 Ogos 2021 hingga November 2022.

“Tentunya beliau mempunyai pengalaman luas dalam isu-isu berkaitan kementerian ini. Nasihat dan bimbingan yang dikongsikan akan saya jadikan panduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander mengakui masih banyak perkara yang perlu didalami dan difahami dengan cepat bagi memastikan urusan di bawah KKR dapat berjalan lancar.

Tambahnya, usaha tersebut tentunya memerlukan kerjasama jitu daripada semua warga KKR bagi sama-sama melaksanakan perkara terbaik dalam usaha membangunkan negara Malaysia.

Beliau dalam kenyataan sama sekali lagi menegaskan akan meneruskan polisi-polisi terdahulu yang terbukti berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Sekiranya terdapat ruang dan peluang untuk penambahbaikan usaha ini juga akan dilaksanakan berpaksikan kebaikan kepada semua,” tegasnya.

Dalam pada itu, Alexander turut menzahirkan tahniah kepada menteri Parlimen Sarawak yang telah dipilih menerajui kepimpinan tertinggi negara sambil mengharapkan agar mereka memikul amanah dengan sebaiknya demi negara tercinta.