Tanggungjawab besar kepada Fadillah sebagai TPM

0
8
Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING: Datuk Sri Fadillah Yusof, 60,  menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi sebagai pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),  turut menyifatkan pelantikan beliau yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi sebagai pengiktirafan kepada blok Borneo iaitu Sarawak dan Sabah. 

“Ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ini merupakan pertama kali dalam sejarah dua orang timbalan perdana menteri dilantik, dan pertama kali juga jawatan itu disandang oleh wakil rakyat dari Borneo.

Seorang lagi timbalan perdana menteri ialah Pengerusi BN dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

“Jawatan ini bukan untuk dibanggakan tetapi ia adalah amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurutnya lagi, beliau akan memikul amanah dan tanggungjawab berpaksikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu anggota Kabinet memberikan keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Semoga kita tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” katanya.

Sebelum ini  beliau ialah Menteri Kanan Kerja Raya.

Pengumuman barisan Kabinet di Putrajaya pada kira-kira 8.20 malam itu disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen serta platform media sosial dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Anwar mengumumkan istiadat angkat sumpah Jemaah Menteri akan diadakan pada hari ini.