Sokong ketumbukan Anwar depani ribut ekonomi 2023

0
5
Datuk Seri Anwar Ibrahim

Apakah yang diharap oleh rakyat ke atas barisan kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim – tokoh pemimpin yang terkenal dengan laungan reformasi sebelum ini.

Kepemimpinan beliau yang ditunggu-tunggu ramai pemerhati kawan atau lawan politik.

Pada 1993, Anwar mendapat pengiktirafan Euro Money Magazine sebagai antara empat Menteri Kewangan terbaik dunia.

Beliau pernah dilantik Pengerusi Pembangunan Bank Dunia pada 1995.

Pada 1996, beliau diiktiraf Asia Money Magazine sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia.

Anwar Ibrahim mendapat pengiktirafan dari Asia Weeks Magazine sebagai The Asian of The Year.

Ketika negara Asean dilanda kemelesetan ekonomi dan krisis politik Mahathir-Anwar 1998, harapan rakyat melihat Anwar menerajui Malaysia terbantut.

Kini 2022, Anwar sudah kembali selepas hampir 25 tahun jika mengira 1998 sebagai tahun beliau keluar dari teraju kerajaan.

Atau 40 tahun jika mengambil kira 1982 sebagai tahun permulaan beliau menjawat jawatan timbalan perdana menteri bawah Tun Dr Mahathir.

Tahun 2022, peralihan kepada Pasca-Covid-19 yang menghantui dunia dengan ramalan berlaku kemelesetan terparah milenium ini menjelang 2023.

Justeru, seperti satu pengharapan, Anwar “terpasang” sebagai Perdana Menteri untuk menghadapi semua kerenah masa depan ketika ekonomi Malaysia sendiri dilaporkan “bermasalah” gara-gara kerenah tadbir urus serta krisis dan perpecahan politik berpanjangan.

Ramai mendoakan Kerajaan Perpaduan berjaya mengharungi “perpecahan” ini, seterusnya sedia menyatukan rakyat dan semangat politik untuk bersatu mengharungi cabaran dan ribut ekonomi 2023.

Anwar sudah membariskan ketumbukan kabinetnya mendepani semua ini.

Sekadar mengutip beberapa nama dan portfolio berkaitan kewangan dan ekonomi, kita harus yakin Kerajaan Malaysia berjaya mendepani ribut ekonomi ini.

Anwar sendiri selaku Perdana Menteri menjawat Menteri Kewangan dan beliau pernah membuktikan kecemerlangan sekitar 1990 silam.

Mohd Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi yang sebelum ini terkenal membawa idea ekonomi dan sebagai pengkritik tajam ekonomi dan salah guna kewangan negara.

Sentuhan beliau ditunggu-tunggu, mudah-mudahan teori dan realiti itu bertemu dalam dunia nyata.

Fadillah Yusof selaku Timbalan Perdana Menteri menerajui Kementerian Perladangan Dan Komoditi, sebagai bidang penting mengurangi belanjawan import sekali gus mengurangkan aliran wang ke luar seterusnya dapat membaiki kadar tukaran asing dan nilai mata wang RM.

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berpengalaman sebagai menteri kewangan sebelum ini, jadi kita mendapat pengetahuan beliau dua dalam satu – dengan pelantikan beliau Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri.

Salahuddin Ayub Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup juga dapat dikaitkan dengan menyumbang kepada prestasi ekonomi negara.

Mohamad Sabu Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan sebagaimana Fadillah, sama-sama saling berganding memainkan peranan menghasilkan sumber makanan dalam negara – antara pemilikan ketara yang Malaysia ada dengan kecukupan sumber tanah, air dan tenaga manusia.

Jadi, jika kita tidak mengeskport sekalipun sumber makanan, dengan menyediakan sumber makanan mencukupi untuk keperluan dalam negeri, itu sudah dikira kecemerlangan luar biasa dalam menyelamatkan aliran keluar ringgit dan mengukuhkan nilai mata wang.

Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi juga berkaitan penjanaan kewangan dan ekonomi masyarakat peniaga.

Bukankah petanda ekonomi sihat adalah apabila peniaga dan usahawan jelas membayar cukai yang besar kepada kantung negara.

Dari saku ke saku kewangan bergerak dan mengalir di dalam negara, sebahagian besarnya digerakkan oleh para usahawan dan peniaga serta sihatnya aktiviti ekonomi yang berlangsung di dalam sesebuah negara.

Kata-kata sakti terkini bagi mendorong kejayaan Kerajaan Perpaduan memasuki seterusnya melepasi serangan ribut ekonomi yang bakal melanda ialah masyarakat perlu membina Perpaduan Rakyat, buang semua kebencian dan kesakitan yang melekat di jiwa demi kecemerlangan sebuah watan.

Belajarlah daripada sejarah lama bahawa perpecahan serta sengketa itu hanya memusnahkan negara dan rakyat.

Anda patriotik kalau anda kuat melupakan api sengketa yang hanya membakar diri.

Anda kuat bukan kerana pakar bertarung “tangan” atau “lidah”, tetapi anda kuat kerana mampu menahan amarah dan kuat bersabar daripada berkata-kata liar atau sembrono menurut hawa nafsu.