Sarawak tambah pendapatan eksport produk kayu

0
7
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan pertambahan nilai pendapatan eksport barangan kayu sehingga RM8 billion setahun menjelang 2030 ekoran prospek pertumbuhan yang diunjurkan dalam nilai pasaran perabot dunia.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030, sasaran eksport ini memberi fokus kepada pengeluaran produk nilai tambah tinggi.

“Ia merangkumi perabot, produk kayu kejuruteraan dan produk berasaskan buluh, serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan.

“Justeru, Kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan nilai pendapatan eksport barangan kayu sehingga RM8 bilion setahun menjelang 2030.

“Sasaran ini seiring dengan potensi pertumbuhan yang diunjurkan dalam nilai pasaran perabot dunia,” katanya.

Jelasnya, kerajaan melalui agensi berkaitan akan terus membantu pihak industri dengan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti makmal pengujian perabot, tapak perindustrian seperti Taman Perabot di Demak Laut dan Tanjung Manis.

Selain itu katanya lagi, terus meningkatkan kolaborasi dalam penyelidikan dan pembangunan dengan institusi pengajian tinggi tempatan, institut penyelidikan dan pemain industri untuk membangunkan produk-produk nilai tambah yang lebih berdaya saing.

Awang Tengah memaklumkan, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Research and Markets, US 2022, nilai pasaran perabot dunia berjumlah USD945 bilion setahun menjelang 2030.

“Begitu juga nilai pasaran untuk produk kayu kejuruteraan dijangka meningkat melebihi USD400 bilion setahun.

Unjuran ini berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Allied Market Research, US 2022.

“Manakala nilai pasaran produk buluh pula dijangka meningkat kepada USD12.4 bilion setahun pada 2032 berdasarkan laporan oleh Future Market Insights Global and Consulting, US 2022,” ujarnya.