Sarawak perlu peruntukan besar

0
16

KUCHING: Kerajaan Persekutuan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap memberi pertimbangan khusus supaya Sarawak diberi peruntukan yang lebih besar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia bagi memastikan pembangunan kemudahan infrastruktur dari segi prasarana, pendidikan, kesihatan dan keselamatan di Sarawak tidak ketinggalan dan selari dengan pencapaian diperoleh semenanjung.

“Ini kerana Sarawak memerlukan banyak lagi kemudahan seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik, air, yang belum mencukupi dan begitu juga dengan sistem telekomunikasi.

“Dari segi infrastruktur pendidikan, kesihatan dan keselamatan harus dipertingkatkan kerana kita tahu Sarawak banyak sekolah-sekolah, hospital dan klinik-klinik desa dalam keadaan daif,” katanya ketika diminta pemberita mengulas mengenai pembentukan kabinet baharu di sebuah hotel di Kuching, semalam (2 Disember).

Awang Tengah yang juga merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menambah, peruntukan besar juga perlu ditekankan ke arah pelaksanaan estate-estate perindustrian dan premis-premis pembuatan di negeri ini.

Hal ini penting katanya bagi meningkatkan usaha menarik pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) ke Sarawak.

Tambahnya, peningkatan program-program sosioekonomi juga perlu untuk membantu pengusaha, peniaga golongan usahawan kecil dan sederhana dalam mengangkat mereka untuk terus maju dalam bidang perniagaan.

Mengulas mengenai lantikan lima Ahli Parlimen (MP) Gabungan Parti Sarawak (GPS) termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Awang Tengah berharap lebih ramai nama MP Sarawak akan dilantik dalam jawatan sebagai Timbalan Menteri penuh.

“Kita mempunyai wakil rakyat (MP) yang berkebolehan dan mempunyai kesungguhan untuk bekerja.

“Umum tahun Anwar telah mengehadkan jumlah kabinet, kita harap lebih ramai lagi MP akan dilantik dalam Timbalan Menteri,” ujarnya.

Beliau mengakui, lantikan lima MP GPS sebagai menteri penuh bagaimanapun bertepatan dan lebih daripada sasaran.