Sarawak belanja RM30 juta untuk tukun tiruan

0
17

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan Fasa Dua Projek Tukun Tiruan dengan kos berjumlah RM30 juta dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai 2023.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia susulan kejayaan fasa pertama program tersebut yang siap dilaksanakan pada 19 September lalu.

“Fasa Satu Program Tukun Tiruan yang bernilai RM70 juta yang meliputi kawasan pesisiran pantai sepanjang 1,000 kilometer siap dilaksanakan pada 19 September 2022.

“Susulan itu, fasa kedua projek berkenaan akan dilaksanakan bermula tahun depan dengan kos RM30 juta,” katanya.

Jelasnya, fasa pertama projek berkenaan melibatkan 16,800 tukun tiruan dilabuhkan.

Kata Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, dapatan awal menunjukkan penanaman tukun tersebut berupaya meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan. Beliau berkata demikian semasa dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dun Sarawak di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menjawab isu yang dibangkitkan Adun Kabong Mohd Chee Kadir mengenai fasa pertama projek berkenaan di kawasan perairan dalam Dun Kabong.

“Sejumlah 960 unit tukun dilabuhkan dalam 48 kluster di perairan laut sepanjang 56 kilometer di antara Kuala Sungai Krian hingga ke Kuala Rajang pada September hingga Oktober tahun 2021.

“Salah satu objektif tukun tiruan ini dilabuhkan adalah untuk melindungi kawasan penangkapan secara tradisi oleh nelayan tempatan daripada ancaman pukat tunda haram,” jelasnya.