Pelantikan Fadillah sebagai TPM peristiwa bersejarah bagi Sarawak

0
2
Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING: Pelantikan Datuk Sri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri disifatkan sebagai peristiwa bersejarah untuk rakyat Sarawak, sekali gus mampu memperkukuh perwakilan Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berserta portfolio Fadillah sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, beliau optimistik melihat perkembangan itu.

Katanya dalam satu kenyataan, ia akan memberi faedah kepada penduduk Sarawak dan Sabah dan meletakkan kami pada kedudukan yang sama dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Fadillah, ahli Parlimen Petra Jaya ialah Timbalan Perdana Menteri pertama dari Sarawak dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Selain beliau, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan seorang lagi Timbalan Perdana menteri.

Wan Junaidi yang juga bekas Ahli Parlimen Santubong turut berharap pelantikan Dato Sri Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Kerja Raya akan memberi fokus sewajarnya kepada keseluruhan pembangunan di Sarawak dan Sabah.

“Berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung, kami sangat ketinggalan dari segi infrastruktur asas seperti perhubungan, sekolah, hospital, bekalan elektrik serta perkhidmatan telefon dan Internet,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam, Fadillah menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi merupakan pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau itu turut menyifatkan pelantikan beliau yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat malam sebagai pengiktirafan kepada blok Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.