Lembaga Pelabuhan Miri jadi perintis

0
13

KUCHING: Lembaga Pelabuhan Miri dipilih sebagai perintis dalam Kajian Pelan Induk Pelabuhan Sarawak yang bermula pada suku pertama 2023.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kajian pelan induk itu bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelabuhan, menaik taraf kemudahan pelabuhan dan meneroka peluang perniagaan baharu.

Menurut beliau, kajian itu merangkumi kemungkinan menangani isu kekeringan cetek di saluran akses Kuala Baram.

“Dari segi pembangunan pelabuhan fizikal, Uggah berkata sebanyak RM70 juta diluluskan untuk melengkapkan kren dermaga untuk Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) bagi meningkatkan prestasi pengendalian kontena.

“Projek itu kini di peringkat tender akhir dan dijangka dianugerahkan pada akhir tahun ini,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan di DUN, kelmarin.

Mengulas lanjut, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, RM30.5 juta diperuntukkan untuk memasang Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) yang kini 84 peratus dibangunkan.

Beliau berkata apabila siap dan dijadualkan untuk pentauliahan pada suku pertama 2023, sistem ini membolehkan KPA mengurus dan meningkatkan keselamatan navigasi kapal yang menggunakan pelabuhan.

“Manakala sebanyak RM56.9 juta baru-baru ini diperuntukkan bagi cadangan pembinaan lapangan kenderaan dan kemudahan berkaitan di Terminal Senari.

“Bagi Pelabuhan Tanjung Manis, sebanyak RM39.4 juta diperuntukkan bagi projek Aids to Navigation (AtoN) yang kini 90 peratus siap dan dijangka siap menjelang suku pertama 2023.

“Apabila siap kelak, sistem ini meningkatkan kecekapan navigasi, menyediakan maklumat cuaca dan pasang surut serta mengawal aliran trafik marin dari Kuala Rajang ke Tanjung Manis,” ujarnya.

Tegas Uggah, inisiatif tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memodenkan infrastruktur pelabuhan, kemudahan dan keselamatan pelayaran dalam memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.