Bukti kerajaan persekutuan iktiraf GPS

0
7
Presiden Persekutuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee Liang Chat

KUCHING: Pelantikan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) bukti kerajaan persekutuan mengiktiraf kepentingan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kerajaan perpaduan baharu ditubuhkan semalam.

Presiden Persekutuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee Liang Chat berkata, perwakilan lima MP dari Sarawak dalam menteri penuh kabinet baharu diharap dapat mengukuhkan suara Sarawak untuk mengembalikan hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Bagi Sarawak, kita awalnya menjangkakan empat pelantikan daripada Perdana Menteri, sebaliknya Sarawak telah diberi lima pelantikan.

“Ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri telah meletakkan kepentingan perwakilan daripada GPS.

“Kita menyambut baik pelantikan khususnya jawatan TPM sekali gus bukti penghormatan kepada GPS Sarawak,” katanya.

Tegasnya, dengan adanya suara kuat daripada wakil Sarawak di kabinet diharap mampu digunakan untuk mencapai matlamat dan objektif rakyat Sarawak iaitu pemulihan MA63.

“Usaha ini dijangka akan melancarkan lagi proses Sarawak dalam menjaga kepentingan hak dan autonomi negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Richard memberitahu, parti Barisan Nasional /UMNO turut diberi peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan seperti yang dijangka.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan Perpaduan ini dapat memastikan ikrar dan janji ditunaikan selaras dengan manifesto mereka sebelumnya.