Jangan salah guna geran MRP

0
15

TATAU: Sebanyak 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dun Kakus menerima peruntukan berjumlah RM1.331 juta menerusi geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Penerima turut merangkumi JKKK Rumah Jungan, Tamin yang musnah dalam kebakaran Ogos lalu.

Turut disampaikan geran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) kepada Gereja St. Paul Kakus. Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Adun Kakus Datuk John Sikie Tayai berkata, setiap tahun, peruntukan MRP berjumlah RM3 juta diagihkan kepada penerima.

Menurutnya, peruntukan tersebut dapat membantu rumah panjang dalam aspek pembangunan seperti membaik pulih dan melaksanakan aktiviti.

“JKKK perlu memaklumkan kepada masyarakat di kawasan masing-masing mengenai jumlah geran dan bukan untuk kegunaan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran MRP Dun Kakus di Pejabat Daerah Tatau, kelmarin.

Sikie menjelaskan, geran MRP yang diterima tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, sebaliknya mengikut tujuan permohonan.

Tambahnya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penerima sekiranya menyalahgunakan geran tersebut.

“Kami mahu setiap penduduk rumah panjang tahu bahawa peruntukan diterima dan kita harus terbuka serta telus dalam perkara ini,” ujarnya.