Hukuman berat salah jika guna Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak

0
20

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memantau pelaksanaan dan tadbir urus Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak dengan ketat serta mengambil sebarang tindakan tegas memastikan pengurusannya berjalan lancar dan telus.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan kerajaannya serius dalam hasrat menguruskan dana tersebut mengikut Prinsip Santiago untuk menegakkan ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengurusannya.

“Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak tidak beroperasi dengan mengurangkan undang-undang lain.

“Manakala penalti di bawah ordinan itu bertujuan menghukum mereka yang cuai dalam pengurusan dana serta ketidakpatuhan mana-mana keperluan di bawahnya.

“Bagi sebarang pelanggaran serius lain, pesalah bukan sahaja akan dihukum di bawah ordinan itu tetapi tertakluk kepada undang-undang lain yang berkaitan dengan kesalahan jenayah seperti Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694),” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata demikian pada ucapan penggulungan di persidangan Dun di sini, kelmarin.

Tegasnya, Kerajaan GPS akan memastikan hukuman yang ketat dan berat akan dikuatkuasakan ke atas Lembaga Penjaga sekiranya ada yang didapati bersalah kerana menyalahgunakan dana atau bertindak melulu atau cuai dalam melaksanakan tugas mereka kepada Lembaga Pengarah dan pemegang kepentingannya.

Terdahulu, RUU diluluskan sebulat suara pada 22 November lalu bertujuan tujuan dana tersebut adalah untuk menjana sumber pendapatan yang mampan untuk generasi akan datang negeri ini.