GPS dukung kesejahteraan Unifor

0
18

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mendukung dasar keterangkuman selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang boleh dilihat melalui bantuan dana yang diberikan kepada rumah ibadat dan sekolah mubaligh di Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama- Agama Lain(Unifor).

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bagi tahun 2022, Unifor membantu sebanyak 251 projek berjumlah RM50.0 juta bagi kerja pembinaan, pembaikan dan naik taraf rumah ibadat.

Selain itu, katanya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga meluluskan lima projek bernilai RM14.7 juta di bawah projek rakyat bagi tujuan yang sama, pada tahun ini.

Katanya lagi, Unifor juga diperuntukkan sebanyak RM15.0 juta pada tahun ini bagi membantu sekolah mubaligh di seluruh Sarawak untuk menyelenggara bangunan dan kawasan dengan senarai penerima sedang dimuktamadkan dan bantuan akan diagihkan tidak lama lagi.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Tamin, permohonan bantuan dana bagi SK St. Mark, Selangau dan SK St. Matthew Sekuau, Selangau dimasukkan di bawah peruntukan tahun ini,”katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dun di Kompleks Dun, Khamis.

Tambah Uggah lagi, bagi meringankan beban kos operasi rumah ibadat akibat kesan pandemik Covid-19, Kerajaan GPS memperuntukkan RM5.0 juta geran operasi yang memberi manfaat kepada 193 rumah ibadat pelbagai agama tahun ini.

“Dasar keterangkuman oleh Kerajaan GPS juga dapat dilihat melalui pemberimilikan tiga ekar Tanah Negeri di Jalan Ong Tiang Swee kepada Amanah Kebajikan Unifor bagi pembinaan kompleks Unifor yang mana pembinaan bermula pada 13 Julai lalu dan dijangka siap pada Julai 2024,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Kerajaan GPS akan terus memberikan bantuan dana kepada rumah ibadat dan sekolah mubaligh di Sarawak sambil menambah komitmen itu dapat dilihat menerusi peningkatan bajet bantuan dana bagi rumah ibadat daripada RM50.0 juta tahun ini kepada RM100.0 juta tahun depan sebagaimana diumumkan Premier Sarawak semasa Majlis Apresiasi Unifor di Sibu dan Kuching baru-baru ini.

Jelas Timbalan Premier Sarawak itu lagi, Unifor menyediakan bantuan dana berdasarkan permohonan yang diterima.

“Pembinaan, pembaikan dan naik taraf rumah ibadat boleh dipertimbangkan termasuk pembinaan dan pembaikan jalan ke tapak perkuburan yang sah dengan syarat terdapat jalan keluar yang diperolehi.

“Jawatankuasa pengurusan rumah ibadat boleh mengemukakan permohonan dana mereka kepada Unifor untuk bantuan,” katanya.

Mengenai permohonan tapak perkuburan baharu di Bayan Tasik dan Setuan Besar, Uggah menyarankan pihak berkenaan mengemukakan permohonan melalui Unifor untuk siasatan dan cadangan lanjut sebelum mengemukakan permohonan kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah.

Beliau menggesa rakyat pelbagai kaum dan agama untuk mengukuhkan persefahaman, keamanan dan keharmonian agama di Sarawak supaya agenda pembangunan dapat dilaksanakan, selaras dengan teras strategik Ease of Doing Business di bawah PCDS 2030.