Galong Luang dilantik Residen Bahagian Kapit

0
19

KAPIT: Galong Luang, 51, anak kelahiran Rumah Panjang Niga Sungai Nyiro Tinjar, Baram memulakan tugas sebagai residen baharu Bahagian Kapit berkuat kuasa, kelmarin.

Beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nyurak Keti yang bertukar ke Pejabat Residen Bahagian Bintulu.

Sebelum ini, Galong merupakan Timbalan Residen Bahagian Kapit sejak 2016.

Beliau mendapat pendidikan awal di SK Long Teran Kanan Tinjar, Baram pada 1978 hingga 1983 dan meneruskan pendidikan di SMK Bakong Miri, Kolej Tanjong Lubang sebelum melanjutkan pengajian di UPM Serdang sehingga 1995.

Galong juga pernah bertugas sebagai guru sementara di Kolej Tunku Datu Haji Bujang Miri dari 1996 hingga 1997 dan mendapat tawaran bertugas sebagai pegawai penyelidik di Institut Kajian Perubatan (IMR), Kuala Lumpur.

Pengalaman bertugas sebagai guru dan pegawai penyelidik perubatan di IMR Kuala Lumpur digunakan sepenuhnya oleh beliau yang memulakan tugas pertama sebagai Pegawai Tadbir Sarawak di Limbang pada 1998.

Pejabat Residen Bahagian Kapit merupakan stesen bertugas beliau yang ketujuh.

Galong ketika ditemui semasa Majlis Serah Tugas yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Bahagian Kapit, mengharapkan kerjasama dan dedikasi yang diberikan oleh semua pegawai di Pejabat Residen Bahagian Kapit diteruskan seperti sebelum ini.

Turut hadir di majlis serah tugas tersebut ialah Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut, Pegawai Daerah Bukit Mabong Robert Liman, Pegawai Daerah Song Harry Bruce dan wakil Pegawai Daerah Belaga Shokuri Alwi.