Enam tokoh wakili Umno, BN

0
9

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan tahniah kepada semua wakil Barisan Nasional (BN) yang dilantik Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan terutama Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad dalam ciapan Twitternya turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan), Naib Presiden Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) dan beberapa pemimpin parti.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  mengumumkan 28 orang barisan Menteri Kabinetnya yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gagasan Rakyat Sabah (Sabah) dan beberapa parti yang lain.

Selain Ahmad Zahid, Mohamad dan Khaled, turut dilantik Setiausaha Agung Barisan Nasional yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar Negeri; Ahli MKT UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi); dan Bendahari BN Negeri Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Enam orang tokoh yang mewakili UMNO dan BN. Selamat bertugas dengan cemerlang. Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri,” ciap Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Dalam hal yang sama, Ahli MKT UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkeyakinan dan berharap barisan Kabinet yang dilantik itu mampu memenuhi segala impian rakyat.

“Justeru semoga semua dapat berbakti dengan baik demi negara dan rakyat yang kita cintai,” katanya di Facebook.