Dasar Sarawak melestarikan alam sekitar

0
9

KUCHING: Penganjuran Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON) 2022 Universiti Teknologi Petronas (UTP) selari dengan polisi Sarawak memelihara alam sekitar serta ke arah penggunaan tenaga hijau pada masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, ini kerana ia sebahagian daripada dasar Sarawak dalam Pelan Strategi Pembangunan PascaCovid-19 Sarawak (PCDS) 2030.

“Dasar Sarawak untuk menggunakan tenaga alam sekitar yang mampan dan hijau.

Disebabkan itu, kami menekankan penggunaan tenaga hidro, hidrogen dan biofuel,” katanya .

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian ESTCON 2022 UTP di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, kelmarin.

Pada masa sama, Roland berkata, program itu memberi peluang kepada pakar serta pelajar tempatan untuk meneroka penyelesaian cabaran dalam mengekalkan dan melestarikan alam sekitar.

“Kementerian sedang menggalakkan dan mempergiatkan program melibatkan pelajar dan guru berkaitan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) selari dengan hasrat kerajaan meningkatkan peratusan pelajar Stem mencapai 60 peratus menjelang 2023.

“Ini kerana, ketika ini, kita mempunyai 25 peratus jumlah pelajar di Sarawak dalam aliran tersebut dan Sarawak perlu mencapai sebanyak 60 peratus daripada jumlah pelajar yang mengambil aliran Stem bagi melaksanakan inisiatif di bawah PCDS 2030,” katanya.

Buat pertama kali sejak perasmiannya pada 2010, edisi terbaharu ESTCON 2022 diadakan di BCCK selama dua hari bermula Khamis.

ESTCON 2022 dihadiri sekitar 800 peserta dan delegasi yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, saintis, jurutera, kumpulan berkepentingan dan pakar industri dari 17 negara dengan 500 kertas kerja dibentangkan.