43 peratus pemilik rumah pertimbang jadi hos Airbnb

0
14

KUCHING: Berdasarkan tinjauan terbaharu Airbnb menunjukkan bahawa 43 peratus daripada pemilik rumah di Malaysia mempertimbangkan untuk menjadi hos di Airbnb.

Seiring musim cuti yang bakal tiba dan industrI pelancongan kian pulih, lebih ramai rakyat Malaysia menunjukkan minat untuk menjadi hos di Airbnb untuk meraih pendapatan tambahan.

Airbnb dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyaksikan kadar pertumbuhan hos baharu yang tinggi di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara dengan kadar inflasi yang tinggi.

“Khususnya, 85 peratus daripada rakyat Malaysia yang ditinjau ini menyatakan bahawa mereka sedang mencari cara untuk mengimbangi kenaikan kos sara hidup.

“Kaji selidik ini juga menunjukkan bahawa keinginan untuk mengembara terus kekal tinggi, dengan lebih satu pertiga responden berkata bahawa mereka terus mencari cara untuk mengembara walaupun kos sara hidup am meningkat,” jelasnya.

Menerusi trend yang bermula sejak pandemik, pihak Airbnb mengakui jutaan orang kini menikmati kebebasan baharu untuk tinggal dan bekerja di mana-mana sahaja.

“Khususnya, lebih dua pertiga daripada rakyat Malaysia yang ditinjau ini menyatakan bahawa mereka kini lebih fleksibel terhadap jenis percutian ketika mengembara.

Lebih satu perempat juga berkata bahawa mereka lebih terbuka untuk mengembara pada luar waktu puncak.

“Pendekatan baharu terhadap perjalanan dan kehidupan ini terus membentuk pilihan penginapan dalam kalangan pengembara Malaysia.

Apabila ditanya faktor-faktor yang mempengaruhi mereka mengembara, 47 peratus berkata ia bergantung pada keupayaan mereka untuk mencari penginapan jangka panjang yang lebih mudah dan selesa.

“Sebanyak 39 peratus menekankan destinasi dengan penginapan unik dan lebih daripada satu perempat mengutamakan akses kepada kemudahan yang memudahkan gabungan melancong sambil bekerja jarak jauh, seperti ruang kerja khusus dan sambungan Internet yang pantas dan stabil,” katanya.

Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata perubahan ketara ke arah perjalanan fleksibel membuktikan peranan penginapan sewaan jangka pendek (STRA) seperti Airbnb semakin penting dalam era baharu pengembaraan.

MICH GOH

“Menjadi hos di Airbnb terus menjadi sumber pendapatan penting kepada jutaan orang di seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia, terutamanya semasa krisis kos sara hidup.

“Kami komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan bagi memastikan rangka kerjakebangsaan yang jelas, mudah dan efektif untuk STRA, bagi membuka jalan kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadi hos Airbnb dan turut menikmati manfaat daripada sektor pelancongan,” tambahnya.

Ujarnya lagi semakin ramai warga Malaysia kini menjadi hos Airbnb buat kali pertama dan salah seorang daripadanya ialah Sarah Othman dari Selangor.

“Keputusannya untuk mula menjadi hos di Airbnb asalnya tercetus daripada pengalamannya sendiri sebagai seorang tetamu, namun ia muncul pada saat yang kritikal.

Apabila anak perempuannya didiagnosis menghidap diabetes jenis 1, insurans perubatan Sarah tidak dapat meliputi semua peralatan yang diperlukannya.

“Pendapatan tambahan daripada menjadi hos membantunya menampung kos rawatan dan keperluan anak perempuannya,” katanya.

Manakala Superhost Izam Yamin dan isterinya Zana membeli apartmen studio mereka dan mula mengalu-alukan tetamu ke unit yang dihias dengan lengkap itu pada Julai 2022.

“Pendapatan yang kami peroleh mampu menampung hidup dan yuran pengajian anak kami.

Ia juga memberi kebebasan kepada Zana untuk berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada keluarga sementara dia memikirkan hala tuju karier seterusnya,” kongsi Izam.

Untuk itu, bagi memastikan Airbnb terus menyokong komuniti hosnya serta revolusi perjalanan semasa, Airbnb baru-baru ini mengumumkan ciri-ciri baharu termasuk lebih banyak AirCover untuk Hos.

Pihaknya juga memperkenalkan Airbnb Setup iaitu cara baharu dan mudah untuk orang ramai menjadikan kediaman mereka sebuah Airbnb.

Airbnb Setup tersebut terdiri daripada panduan peribadi daripada ‘Superhost’, tetamu berpengalaman untuk tempahan pertama anda dan sokongan khusus daripada Airbnb.

Tinjauan yang dibuat adalah berdasarkan tinjauan dalam talian terhadap 1057 responden di Malaysia, yang ditugaskan oleh Airbnb dan dijalankan oleh YouGov antara 5 hingga 9 Oktober 2022.